| Universiti Putra Malaysia

Sultan Nazrin berkenan terima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja pada Majlis Anugerah Buku Negara

Oleh: Noor Eszereen Juferi 

SERDANG, 24 Ogos – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja daripada Majlis Anugerah Buku Negara pada hari ini yang dipersembahkan oleh Pro Canselor UPM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie.

Penerbitan buku berjudul “Striving of Inclusive the Development From Pangkor Modern Malaysia State” yang ditulis oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah penulisan buku itu merupakan penemuan kajian mengenai pencapaian kemajuan Malaysia yang mengagumkan berdasarkan analisis komprehensif data-data ekonomi dan sosial dalam tempoh 150 tahun bermula dari Perjanjian Pangkor pada tahun 1874.

“Penyelidikan, kajian dan analisis penerbitan buku ini mengambil masa hampir 20 tahun dan melibatkan proses kerja yang sangat mencabar untuk mendapatkan data yang tersimpan di pelbagai tempat dalam bentuk rekod yang tidak seragam.

“Kemudiannya dengan proses memilih dan menapis serta menyelaras dan menyeragamkan maklumat data yang dikumpulkan,” titah baginda.

Selain itu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah perjalanan menghasilkan buku menuntut kepada kesungguhan, ketekunan, ketabahan dan kesabaran.

“Nikmat bagi seorang penulis diperoleh apabila buku yang dihasilkan dijadikan bahan bacaan dan rujukan berupaya menjadi sumber ilmu kepada masyarakat,” titah baginda.

Dalam pada itu Sultan Nazrin bertitah, negara akan mencipta kejayaan lebih gemilang jika setiap warga diberikan peluang yang saksama untuk dapat menikmati faedah daripada pembangunan yang berlaku dalam negara agar tercipta sebuah masyarakat yang adil.

“Pencapaian kejayaan Malaysia yang menakjubkan selama ini ialah hasil usaha bersama setiap warga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum yang menganut agama, berlatar belakang pelbagai budaya.

“Kepelbagaian ini hendaklah dilihat sebagai aset yang wajib diharmonikan untuk membina khazanah kekayaan negara dengan mengamalkan budaya keterangkuman atau inclusivess hingga terbentuknya warga yang kukuh berpadu dalam kepelbagaian,” titah baginda.

Dalam acara itu, baginda berkenan menerima Trofi dan Sijil dari Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Y.A.M Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail; Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar; Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara, Dr. Hasan Hamzah; Pengerusi, Program Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022  dan Pegawai Kanan Universiti. - UPM

WXDdMAa~