| Universiti Putra Malaysia

Suami isteri capai impian tamat PhD bersama

SERDANG, 28 November – Pasangan suami isteri, Md Mahmudul Hasan dan Mst. Motmainna gembira mencapai impian untuk bergraduat bersama pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 2 pada hari ini.

Pasangan suami isteri itu bergraduat dalam bidang pengajian yang sama, Sains Tumbuhan.

Md Mahmudul berkata beliau telah memulakan pengajian Master beliau di UPM pada tahun 2016 dan pada tahun 2018 beliau terus melanjutkan ke peringkat PhD.

“Selepas saya dan isteri berkahwin pada tahun 2018 isteri saya mengikut serta untuk menyambung PhD bersama saya dalam bidang yang sama tetapi dengan penyelia yang berbeza di Fakulti Pertanian,” katanya.

Beliau akui pelbagai cabaran beliau bersama isteri perlu lalui dan mereka saling menyokong antara satu sama lain.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami bersyukur pada ketika itu telah tamat kerja lapangan penyelidikan kami dan menggunakan waktu itu untuk menghabiskan penulisan tesis kami,” katanya.

Pasangan suami isteri ini juga kongsikan memori manis di UPM antaranya mereka memulakan penghidupan sebagai suami isteri di sini dan bersyukur rakyat Malaysia sangat peramah sedikit sebanyak mengurangkan kerinduan kepada tanahair mereka.

Mereka memilih UPM sebagai destinasi melanjutkan pengajian kerana yakin dengan kepakaran yang sedia ada serta UPM merupakan universiti yang unggul dalam bidang pertanian.

WXEXRAU~