| Universiti Putra Malaysia

Status OKU buta tidak menjadi penghalang untuk bergelar sebagai seorang graduan Master

Oleh: Nazrul Rapail
Bacelor Sastera (Bahasa dan Lingustik Melayu), FBMK, UPM


SERDANG, 8 Jan – Status OKU buta kedua belah mata tidak menjadi penghalang untuk Khairullah Affarouk Paiman, 37, untuk beliau bergelar graduan Sarjana (Master) Bahasa Melayu.

Khairullah Affarouk merupakan anak kedua daripada enam orang adik beradik telah dilahirkan sempurna dan keadaan beliau  berubah segalanya apabila anak jati Felda Pemanis, Segamat Johor itu mengalami kerosakan saraf pada bahagian kedua belah mata akibat daripada terkena bola semasa berusia 13 tahun.

Khairullah merupakan seorang yang minat dalam Bahasa Melayu, kini beliau sedang menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah  (PhD)

Khairullah akui perlu mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tempoh menghabiskan pengajiannya di peringkat Master di sini.

Beliau bersyukur pelbagai pihak yang sentiasa membantu beliau dari segi sokongan moral serta  penyediaan pelbagai kemudahan yang sangat membantu beliau dalam menghasilkan tesis dan projek ilmiah.

“Saya bersyukur dapat melanjutkan pelajaran di UPM kerana pihak UPM sangat prihatin dan cakna dengan nasib golongan OKU. Pelbagai prasarana yang dapat dinikmati seperti kemudahan tempat tinggal yang mesra OKU dan juga penyediaan embosser daripada Perpustakaan Sultan Abdul Samad, PSAS UPM yang sangat membantu pelajar OKU penglihatan,” katanya.

Khairullah mempunyai prinsip yang tersendiri iaitu tidak menjadikan kekurangannya sebagai alasan untuk beliau mencapai kejayaan. Beliau sentiasa membina motivasi buat dirinya sendiri agar dapat mengejar cita-citanya sebagai seorang pensyarah suatu hari nanti. - UPM

SXETRA~