| Universiti Putra Malaysia

Staf, pelajar UPM bantu mangsa banjir di Chenor, Pahang

Oleh Azman Zakaria


CHENOR (Pahang), 1 Mac:  Kira-kira 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan masyarakat setempat dari kumpulan Sahabat Masjid, Kor SISPA UPM serta Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) menjalankan misi bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Pesagi, Chenor, di sini.

Dalam misi yang diadakan pada 26 Februari lalu, mereka menyampaikan bantuan barangan makanan dan kewangan kepada penduduk 57 buah rumah di Kampung Pesagi, Chenor yang turut meliputi Penempatan PPRT, Kampung Machang Gelap, Kampung Sawah dan Kampung Kandih yang rumah mereka dinaiki air ketika banjir Januari lalu.

Barangan makanan yang diberikan termasuk beras, tepung, susu, sardin, minyak masak dan noodle.

Mereka juga bersama-sama membersihkan beberapa rumah serta mengecat semula dua buah rumah yang dihuni oleh Orang Kurang Upaya (OKU) yang terjejas ketika banjir itu.

 

Sebuah daripada rumah itu dihuni oleh tujuh sekeluarga yang semuanya OKU, manakala sebuah lagi dihuni seorang lelaki warga emas OKU.

Ketua misi bantuan, Zuhaimi Abdul Rahim berkata ia adalah misi bantuan siri kedua yang dijalankan, selepas siri pertama pada 21 Januari lalu membantu mangsa banjir di Pasir Mas, Kelantan.

Katanya, objektif misi adalah sejajar dengan konsep ihsan yang diterapkan oleh Naib Canselor, Prof. Datin Paduka Dr Aini Ideris, untuk sama-sama membantu masyarakat.

Zuhaimi yang juga Pengerusi Sahabat Masjid UPM berkata, walaupun pada ketika ini tiada lagi banjir, namun kesan banjir pada awal Januari lalu masih dirasai mangsa termasuk pelbagai perkakasan yang rosak dan dinding rumah yang masih kotor.       

“Sahabat Masjid UPM melaksanakan amanah dalam menyampaikan bantuan itu daripada sumbangan dan derma orang ramai ke dalam tabung bantuan mangsa banjir yang ditempatkan di Masjid UPM.

“Setakat ini kira-kira RM15,000 sudah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya. - UPM

WXETFAK~