| Universiti Putra Malaysia

SPM dan STPM masih relevan dengan senario pendidikan semasa - Prof. Madya Dr. Norazlina

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 29 Jun – Baru-baru ini terdapat desas-desus bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memansuhkan semua jenis peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Bagaimanapun, pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram berkata sistem pendidikan negara perlu mengekalkan peperiksaan SPM dan STPM kerana kedua-dua peperiksaan ini masih relevan dengan senario pendidikan semasa.

“SPM dan STPM masih relevan dikekalkan.  Penilaian perlu dilaksanakan secara menyeluruh, iaitu tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata. Dalam hal ini KPM perlu melakukan penambahbaikan segera terhadap sistem penilaian, pentafsiran, kurikulum, dan silibus secara sistematik selari dengan perkembangan teknologi digital.

"Benar, keputusan SPM dan STPM bukanlah penentu kejayaan individu tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa perlu ada satu kaedah untuk mengukur penguasaan pelajar dalam bidang akademik," katanya.


Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi

 

Tambahnya lagi, keputusan yang diperoleh dapat membantu pelajar untuk membuat pilihan sama ada menyambung pengajian dalam bidang akademik atau memperkukuh kemahiran  insaniah dalam bidang yang diminati.

Beliau turut mempertikaikan justifikasi pemansuhan SPM dan STPM yang tidak rasional. Antaranya termasuklah ibu bapa tidak lagi pening kepala untuk memastikan anak-anak mendapat gred A, tidak perlu membuat perbandingan pencapaian dengan anak-anak lain dan pelajar bebas daripada tekanan.

"Persoalannya, adakah SPM dan STPM perlu dimansuhkan semata-mata untuk memenuhi keinginan ibu bapa yang mementingkan diri sendiri"?

"Namun, masih ramai ibu bapa di luar sana yang memberi sokongan berterusan kepada anak-anak mereka. Anak-anak diingatkan tentang kepentingan menimba ilmu dan tanggungjawab sebagai pelajar. Mereka perlu belajar bersungguh-sungguh, gigih berusaha dan fokus semasa  menjawab peperiksaan", katanya.

"Jika keputusan cemerlang, raikan kejayaan tersebut dan ingatkan anak-anak bahawa kejayaan yang diperoleh bukan penentu segalanya. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui.

"Jika keputusan tidak seperti yang diharapkan, raikan anak-anak dengan kata-kata semangat supaya mereka tidak berputus asa dan bangkit daripada kegagalan," katanya.

Dalam hal ini, Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz menyatakan bahawa masa depan seseorang itu bergantung kepada diri sendiri. Selagi ada usaha selagi itu ada harapan. Ungkapan ini boleh dijadikan renungan untuk kita mencipta kecemerlangan.

Beliau juga menyatakan bahawa sistem pendidikan sedia ada perlu diperkemas dengan rapi dan ditambah baik untuk menangani pelbagai isu yang dibangkitkan. Berikutan itu, cadangan pemansuhan SPM dan STPM tidak wajar dipertimbangkan pada masa ini - UPM.

SXEUEAg~