| Universiti Putra Malaysia

Sokongan universiti mudahkan pelajar lalui kebiasaan baru

Oleh: Azman Zakaria

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 2 Mei: Melakukan kebiasaan baru di kampus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sesuatu yang mudah tetapi hasil sokongan dan keperihatinan pensyarah, pegawai dan kakitangan, perkara itu dapat dilalui oleh pelajar.

Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), M. Adib Farhan Abdullah mengakui pada peringkat awal PKP, beliau berasa agak tertekan kerana bimbang penularan Covid-19, selain pergerakan yang terbatas dalam kampus sahaja.

“Tetapi sokongan, kemudahan dan bantuan yang diberi oleh UPM, termasuk makanan yang disediakan telah membolehkan pelajar dapat menerima kebiasaan baru itu. 

“Kami berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada UPM yang begitu prihatin dalam menjaga kebajikan pelajar sepanjang PKP,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak.

Beliau adalah antara lebih 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang pulang ke beberapa lokasi di zon Perak, dengan menaiki bas dari UPM yang menjadi tuan rumah menguruskan perjalanan pulang itu.

Adib Farhan, 23, berkata, tekanan yang dialaminya pada peringkat awal PKP juga kerana berjauhan daripada keluarga dan bimbangkan keadaan mereka di kampung, yang menyebabkan timbul rindu untuk balik ke rumah.

Katanya, beliau bersyukur kerana inisiatif daripada kerajaan dan koordinasi daripada universiti telah membolehkan beliau dan pelajar-pelajar lain dapat pulang ke kampung.

“Mulanya dulu, tak pasti sama ada dapat berhari raya di kampung atau tidak… tetapi kini alhamdulillah,” katanya dan berharap pelajar terus mengekalkan amalan penjarakan sosial dan sering membasuh tangan.

Bapanya, Abdullah Yusof, 59, ketika dihubungi berkata, beliau amat bersyukur kerana anaknya telah selamat tiba ke rumah.

“Kini rasa amat lega, hilang segala kerisauan sebelum ini kerana kini Farhan sudah berada bersama kami.

“Walaupun UPM membekalkan makanan dan seumpamanya, tapi sebagai bapa pasti bimbang keselamatan anak kerana bahaya pandemik Covid-19,” katanya.

“Kini kami dapat bersama-sama di bulan Ramadan dan insyaAllah merayakan Adilfitri bersama-sama,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada UPM dan semua pihak yang terbabit membantu pelajar sepanjang PKP dan peyumbang makanan, serta Kementerian Pengajian Tinggi. - UPM

SXDdOAT~