| Universiti Putra Malaysia

Sibuk tugas tak halang impian martabatkan Cak Lempong di UPM


Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang

SERDANG, 11 Mei -  Bijak membahagikan masa antara tugas hakiki sebagai Penolong Pegawai Sains di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, dengan tugas sebagai pelatih motivasi serta usaha memartabatkan muzik cak lempong,  membolehkan Razali Othman mengecapi kepuasan dalam ketiga-tiga bidang diceburi.

Usaha, kesungguhan dan kejayaan itu membolehkan beliau menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor, kategori Perkhidmatan Profesional Kumpulan Pelaksana pada Majlis Gemilang Akademia Putra 2015 (MGAP), di sini baru-baru ini.

Beliau antara 18 orang yang menerima anugerah yang disampaikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).

Razali berkata, tidak bertukar tempat kerja sejak mula bertugas pada 1978, merupakan satu kelebihan buatnya kerana dapat menyumbang khidmat membantu pensyarah dalam penyediaan dan pengendalian kelas amali pelajar, serta dapat menjalankan tugas penyelidikan dan khidmat profesional dalam bidang pemprosesan dan pengawetan makanan.




Beliau yang memulakan tugas sebagai Pelayan Makmal di Jabatan Sains danTeknologi Makanan sebelum dinaikkan pangkat sehingga ke jawatan yang disandangnya sekarang, berkata beliau juga sering menjadi rujukan pelajar dalam penyediaan dan pengendalian projek atau penyelidikan mereka.

“Kira-kira 60 peratus daripada tugas saya adalah dalam memastikan kelancaran kelas amali pelajar, 20 peratus pengurusan makmal seperti kebersihan dan kesihatan, serta 20 peratus lagi berkaitan kerja-kerja pengembangan seperti kursus,” katanya dalam temu bual.

Katanya, beliau juga membantu fakulti memberikan khidmat nasihat, rundingan dan kursus jangka pendek kepada individu, komuniti dan agensi dalam bidang pemprosesan dan pengawetan makanan.

“Dalam kehidupan ini kita mesti terus belajar dan mencari ilmu. Kepayahan yang dilalui sebenarnya adalah motivasi dan guru yang mengajar kita,” katanya yang bekerja sebaik tamat persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi terus meningkatkan tahap pendidikan dan memperoleh Ijazah Bachelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) pada 2002 dan Master Sains (Pembangunan Sumber Manusia) pada 2006.

Dalam kesibukan tugas, beliau bijak mengurus masa di luar waktu tugas sebagai pelatih motivasi team building dan pengajar bidang pemprosesan makanan yang berkonsepkan Japanese Training Methods dengan menghasilkan modul sendiri antaranya yang diberi nama Konsep 4H (Head, Hand, Heart, & Health) dan Konsep Air Cucur Tangan.

Minat terhadap muzik dan untuk memelihara budaya bangsa pula, membuatkan Razali mula belajar muzik Cak Lempong pada 1980 di Kompleks Budaya Negara, yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Selama dua tahun saya belajar di Kompleks Budaya Negara di Padang Merbok…naik tiga bas sambung-sambung untuk pulang ke rumah di Sungai Ramal, Kajang. Pernah jalan kaki pulang ke rumah kerana perkhidmatan bas sudah tamat,” katanya.

“Sebenarnya saya rasa tercabar apabila ada kawan saya bermain rebana boleh pusing dunia. Baru saya tahu untuk mudah keliling dunia perlu bawa budaya, Alhamdulillah dengan cak lempong saya dapat keluar ke beberapa negara ASEAN,” katanya yang memegang jawatan Pengerusi dan Pengurus Kelab Cak Lempong Uniputra UPM.

Katanya,bagi menarik golongan muda membabitkan diri dalam cak lempong, beliau pada awalnya memasukkan lagu-lagu  rock dalam cak lempong, tetapi tindakannya itu pernah dikritik. Namun dua orang pembuat alat muzik gamelan - Wak Sarbini dan Wak Margono -  yang dikunjungiinya di Batu Pahat, Johor untuk menempah peralatan muzik tradisonal tidak menghalangnya berbuat demikian.

“Umpama mengail untuk mendapat ikan besar, kita tidak boleh terus tarik tapi tali joran perlu juga dihulur sebelum ditarik. Saya lakukan sebab kita nak tarik minat golongan muda terhadap cak lempong,” katanya.
Membabitkan diri dalam cak lempong juga dapat mengurangkan rasa tekanan, katanya yang mengucapkan terima kasih kepada UPM tempatnya bekerja dan menimba ilmu dan pengalaman. - UPM.

 


WXDdXAK~