Seminar ‘Bringing STEM To Live 2015’ Tingkat Pembelajaran Sains Negara | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Seminar ‘Bringing STEM to Live 2015’ tingkat pembelajaran sains negara

Seminar ‘Bringing STEM to Live 2015’ tingkat pembelajaran sains negara


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 28 Julai
– Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan seminar Bringing STEM To Live 2015 bagi meningkatkan minat pelajar untuk memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai karier masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara Prof. Datuk Raduan Che Ros berharap penganjuran seminar itu akan menyuburkan agenda pembelajaran sains dalam menjadikan negara lebih cemerlang.

“Harapan saya UPM melakukan usaha berterusan untuk sama-sama menjayakan matlamat negara yang kini mensasarkan 60 peratus daripada kanak-kanak dan belia memilih pengajian dalam bidang STEM,” katanya ketika merasmikan seminar STEM di Dewan Taklimat, UPM di sini.

Beliau berkata, seminar itu menyediakan platform para penyelidik dari institusi akademia dalam sains dan matematik untuk bertukar pandangan dalam mempertingkatkan penemuan terkini dalam pengajaran serta pembelajaran dalam bidang STEM.



“Ini akan memberi ruang untuk melihat semula keperluan yang perlu penambahbaikan bagi mempertingkatkan kualiti pengajaran sains dan matematik serta menumpukan penyelidikan dan penemuan terkini dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bidang tersebut,” katanya.

Antara pembentang kertas kerja pada seminar berkenaan adalah daripada Majlis Profesor Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Malaya dan Malaysian Industry-Goverment Group for High Technology (MIGHT). Moderator forum adalah Felo, Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman.

Pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM, Dr. Yap Wing Fen berkata beliau yang terlibat dalam program STEM sejak tahun 2012 berharap dapat memperkenalkan UPM STEM kepada pelajar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.



“Harapan saya program ini akan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar untuk berjaya dalam jurusan tersebut serta melahirkan pakar dalam jurusan STEM kerana pelajar kita kurang mempelopori bidang ini,” katanya.

Beliau bersama rakannya Dr. Suriati Paiman turut membentangkan mengenai “UPM STEM: Inisiatif, Pelaksanaan dan Hala Tuju” memfokuskan mengenai usaha Fakulti Sains UPM dalam memartabatkan STEM kepada mahasiswa fakulti sebagai fasilitator program outreach yang dijalankan untuk pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah serta knowledge transfer kepada mahasiswa fakulti berkenaan.

Dr. Suriati berkata matlamat UPM STEM adalah untuk melahirkan pelajar modal insan STEM yang berdaya saing serta menggalakkan graduan UPM untuk berfikiran kritis dan kreatif bagi membuat pilihan produktif apabila bergraduat kelak.

“Seminar ini turut membuka peluang jaringan agar dapat merealisasikan aktiviti mega STEM yang dapat dimanfaatkan kepada komuniti dengan kerjasama serta bantuan kewangan yang kukuh daripada organisasi-organisasi dan industri luar untuk keperluan aktiviti-aktiviti STEM di peringkat nasional.

“Sasaran utama kami adalah kepada para pendidik kerana mereka adalah aset dalam memanfaatkan pendidikan STEM di Malaysia dan mengalakkan kemahiran STEM berterusan daripada pra-sekolah sehingga pemilihan kerjaya,” katanya. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566352905