| Universiti Putra Malaysia

“Saya bimbang tak mampu melangkah ke atas pentas kerana sebak,” kata isteri Allahyarham Shalat

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Seksyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat

SERDANG, 23 Mac: “Awalnya saya berat hati untuk datang mengambil ijazah Bacelor arwah suami kerana takut saya sebak dan tak mampu melangkah ke atas pentas.

“Tetapi saya kuatkan hati mengambilnya untuk meraikan kejayaan arwah suami dan untuk memberi motivasi kepada empat anak agar mengikuti jejak langkah arwah ayah mereka berjaya dalam pelajaran,” kata Nurul Huda Abd Rani, isteri kepada Allahyarham Shalat Ihsan Sharudin, yang menerima Ijazah Bacelor bagi pihak arwah suaminya.

Nurul Huda, 36, menerima bagi pihak Allahyarham Shalat Ihsan, Ijazah Bacelor Komunikasi daripada Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Academician Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim, pada Sesi 5, Majlis Konvokesyen UPM ke-45, di sini.

Nurul Huda berkata, suaminya yang bertugas di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Putrajaya, meninggal akibat sakit jantung pada 8 Jun 2021, sehari selepas arwah menghabiskan puasa sunat Enam Hari di bulan Syawal. Mereka mempunyai empat anak berusia antara lima dan 14 tahun.

Dua bulan selepas Shalat Ihsan meninggal dunia, bapanya Sharudin Abdul Hadi (bapa mentua Nurul Huda) yang juga alumni UPM pula meninggal dunia akibat COVID-19.

“Apa yang saya terbayang ketika melangkah untuk menerima Ijazah Bacelor itu, ialah wajah suami yang menerima Bacelor itu, sukar saya nak gambarkan....namun saya bersyukur, cita-cita Allahyarham memperoleh Bacelor tercapai,” kata Nurul Huda dalam nada tersekat-sekat menahan sebak.

“Perasaan saya sebak dan terharu ketika Pro-Canselor bertanya sebab suami saya meninggal, ketika saya menerima Ijazah Bacelor itu,” katanya.

Beliau yang berasal dari Sungai Besi, Selangor dan seorang suri rumah berkata, yang sungguh-sungguh menyuruh beliau datang mengambil Ijazah Bacelor itu dengan membawa anak-anak ialah kedua ibu bapanya, emak mentua dan kakaknya.

“InsyaAllah saya akan didik anak-anak saya berjaya di dunia dan akhirat. Saya nak anak-anak berjaya dalam akademik seperti ayah mereka,” kata Nurul Huda yang memiliki Ijazah Kejuruteraan Bahan daripada Universiti Islam Antarabangsa.

Katanya, beliau kini menyara anak-anak dengan pencen terbitan arwah suami dan mungkin bercadang untuk bekerja kemudian.

Katanya, suaminya tidak ada menunjukkan tanda-tanda sakit jantung meskipun catatan tahap kolesterolnya agak tinggi.

“Pada hari kejadian, saya dan suami baru balik daripada bersarapan. Arwah tidur sebentar, dan pada tengah hari saya gerakkan arwah. Tidak lama selepas bangun, tiba-tiba arwah rebah. Pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian melakukan bantuan Cardio-Pulmonary Resuscitation (CPR) selama 20 minit, tetapi arwah tidak memberi sebarang respons,” katanya.

Anak sulung mereka,  Muhammad Soleh, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1), ketika ditemui berkata, beliau terharu atas kejayaan ayahnya dan berazam untuk belajar sehingga ke peringkat universiti.

“Ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya dan adik-adik,” katanya. – UPM.

SXEZAAx~