| Universiti Putra Malaysia

Satu Ramadan 2023, UPM sumbang lebih RM32,000 buat mangsa gempa Turkiye dan Syria

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang


SERDANG, 23 Mac – Prihatin dengan kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria Februari lepas, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyalurkan bantuan berjumlah RM32,768.37 kepada Turkiye dan Syria sempena hari pertama masyarakat Islam di negara ini menjalani ibadah berpuasa, hari ini.

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, jumlah bantuan tersebut ialah hasil kutipan bersama warga UPM termasuklah staf dan pelajar yang menyumbang melalui Tabung UPM Prihatin@WAZAN bermula 8 sehingga 28 Februari 2023.

Katanya, sehingga kini beliau masih bersimpati dengan bencana gempa bumi dan keadaan yang berlaku di sana berikutan jumlah terkorban melepasi 47,000 penduduk bahkan kerosakan infrastruktur di sana menelan kerugian berbilion ringgit.

“Ketika kejadian, setiap hari laporan jumlah mangsa yang terkorban sentiasa meningkat termasuklah kemusnahan sebahagian besar bandar di kawasan yang terlibat. Terima kasih saya ucapkan kepada semua warga UPM dan penyumbang yang bermurah hati menghulurkan bantuan menerusi kutipan daripada Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban penduduk yang terlibat di sana termasuklah pelarian Syria yang tinggal di wilayah Gaziantep dan Ekinozu, Turkiye dan kita akan terus menjaga hubungan persahabatan yang baik dengan Turkiye dan Syria,” katanya.

Beliau juga berharap agar rakyat Malaysia serta warga UPM mendoakan tiada lagi gempa yang lebih teruk akan berlaku di sana.

Penyaluran sumbangan kewangan itu diberikan oleh Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan kepada Duta Turkiye, H.E Emir Salim Yuksel di Bilik Tetamu, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori Putra UPM, dekat sini. -UPM

SXDdRAO~