| Universiti Putra Malaysia

Sasterawan negara kongsi ketokohan ilmuan Raja Ali Haji pada siri syarahan dianjurkan IPSAS UPM

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mozaid Idris

 

SERDANG, 6 Januari - Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science & Civilisation (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan siri syarahan yang bertajuk Ketokohan Kepemimpinan Raja Ali Haji yang menjadi contoh tauladan untuk kemakmuran belia pada masa kini.

Sasterawan Negara, Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail berkongsi mengenai ketokohan ilmuan Raja Ali Haji yang terkenal di nusantara namun tidak ramai generasi muda mengenali tokoh itu yang arif dalam bidang keagamaan, perundangan, ketatanegaraan, sejarah, bahasa dan sastera.

“Pada zaman ini generasi muda lebih mengagungkan tokoh luar sehingga ilmu tamadun Melayu dan agama semakin luntur dalam diri belia yang sepatutnya kita harus berpandukan kepada agama, budaya dan adab yang boleh dicontohi daripada tokoh ilmuwan kita iaitu Raja Ali Haji,” katanya.

Tambah beliau, Raja Ali Haji merupakan figura nusantara dan amalan kepemimpinan tokoh ini terdapat banyak dalam bidang yang boleh menjadi rujukan untuk kemakmuran belia pada masa hadapan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berharap dengan kerjasama IPSAS UPM dan RZS-CASIS UTM dapat menyemarakkan kembali serta memartabatkan budaya dan asas agama yang tidak menghancurkan tamadun Melayu.

“Kerjasama yang dimulakan pada tahun 2021 antara IPSAS dan CASIS lebih bermakna kepada masyarakat dan golongan belia untuk meningkatkan kesedaran pada budaya dan juga menghayati karya-karya Raji Ali Haji.

“Raja Ali adalah seorang tokoh yang tidak asing dalam alam Melayu. Menurut sebuah kajian, beliau lahir di Selangor, malah kerajaan negeri Selangor dan sultan Selangor menganggap ianya satu warisan bangsa dan negara dan ia tidak boleh diangkat di Indonesia sahaja dan mesti diangkat di Malaysia juga,” katanya.

SXETTAx~