| Universiti Putra Malaysia

Sarjana UPM dipilih ketuai badan induk profesional Malaysia

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Marina Ismail



SERDANG, 16  Julai (UPM) – Seorang pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr Mohd Khanif Yusop, telah dipilih sebagai presiden Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) iaitu badan induk ahli profesional Malaysia.

Dipilih memegang jawatan itu pada 22 Jun 2013 untuk penggal setahun, pakar dalam kimia tanah tanih dengan Fakulti Pertanian UPM itu dijangka mengetuai pertubuhan berpengaruh ditubuhkan 40 tahun lalu untuk berurusan dengan kerajaan dan agensi-agensi lain sama ada untuk memberikan input atau menyelesaikan isu.

Prof Khanif,  63, yang mengajar di UPM selama 37 tahun berasa bangga diberikan amanah memimpin BIM dengan tumpuan utama beliau adalah untuk menjadikan  profesional pertanian dan profesional lain diiktiraf sepertimana peguam, doktor, jurutera dan akitek.

Sebagai presiden Institut Pertanian Malaysia (AIM) sejak 2007,  beliau telah berusaha mendapatkan pengiktirafan profesional pertanian itu melalui enakmen Akta Agrologis yang menerima sokongan positif daripada pihak berkuasa di samping pihak berkepentingan dalam sektor pertanian.

Prof Khanif menjadi anggota BIM melalui AIM memandangkan BIM tidak mempunyai ahli individu.



Di antara 22 institusi ahli Badan Ikhtisas Malaysia adalah Malaysian Pharmaceutical Society, Royal Institution of Surveyors, Institution of Engineers Malaysia,Persatuan Akitek Malaysia, Malaysian Institute Of Planners , Agricultural Institute of Malaysia, Institute of Landscape Architects Malaysia ,  the Veterinary Association Malaysia  dan Institute of Internal Auditors.

Beliau berkata selain BIM memberi ruang kepada profesional menjalin jaringan di kalangan mereka dan golongan lain, ia juga adalah institusi untuk ahli berurusan dengan kerajaan dalam dialog seperti dialog belanjawan.

“Kami membangkitkan isu yang dihadapi semua dan kami mensasarkan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak,” kata beliau.


Sebagai contoh, apabila kerajaan memilih untuk memberi kelonggaran kepada sektor perkhidmatan, BIM memberi pandangan dan input bagaimana  ia boleh mendatangkan impak terhadap profesional di negara ini.

“Matlamat kami adalah untuk menaikkan tahap profesionalisma dan sebab itulah kami memberi tumpuan betapa perlunya diwujudkan satu kod etika untuk  profesional di negara ini,” katanya yang menambah BIM berusaha habis-habisan menekankan pentingnya isu integriti melalui forum dan seumpamanya.

Di samping itu, BIM juga pro-aktif dalam menganjurkan klinik kerjaya dengan universiti untuk mendekati pelajar dan membantu mereka dalam membuat pilihan mengenai sesuatu kerjaya dan pekerjaan lain.

Melalui Majlis Akademik BIM, mereka berurusan dengan pentadbir universiti-universiti dan memberikan mereka maklumbalas mengenai kursus-kursus profesional dan kurikulum bagi membolehkan mereka melahirkan profsional yang sejati, katanya.

Beliau juga mendapati Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) giat berusaha mengeksport sektor perkhidmatan dan kepakaran Malaysia dan dalam hubungan ini, BIM perlu berusaha lebih gigih untuk memperoleh pengiktirafan rasmi untuk golongan profesional agar mereka mendapat ruang lebih luas.

Khusus untuk UPM, beliau amat gembira untuk membantu universiti dengan bertindak sebagai perantara dengan golongan profesional.

 

Prof Khanif lahir di Parit, Perak, di mana beliau mendapat pendidikan awalnya iaitu di Sekolah Iskandar Shah.

Beliau lulus diploma dalam pertanian daripada Kolej Pertanian Malaya (1971), institusi asal UPM sebelum meneruskan pengajian ke Universiti Hawaii di mana beliau memperoleh Sarjana Muda Sains dalam Pertanian Tropika pada 1973, diikuti dengan Sarjana Sains dalam Agronomi dan Sains Tanah pada 1975. Beliau lulus PhD dalam Sains Pertanian dari Universiti Ghent, Belgium, pada 1983.

Dalam kerjayanya di UPM, beliau dilantik sebagai ketua Jabatan Sains Tanah (1987 – 1991), Dekan Fakulti Pertanian (2001 – 2006) dan ahli Senat UPM (1993 – 2006).

Beliau kini terlibat dalam dua projek penyelidikan jangka panjang – satu mengenai keselamatan makanan dan satu lagi berkaitan pengeluaran baja urea menggunakan teknologi hijau. – UPM.

-- kgo/agn/kam


SXETMA5~