| Universiti Putra Malaysia

SAINS PERTANIAN UPM DISENARAI 54 TERBAIK DUNIA

Oleh Abdullah Arshad


SERDANG, 31 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) disenaraikan pada kedudukan ke-54 terbaik di dunia dalam bidang Sains Pertanian (Agricultural Sciences) dalam penarafan Best Global Universities Rankings oleh US News and World Report yang diterbitkan baru-baru ini. 

Penarafan baharu itu memfokuskan penyelidikan keseluruhan institusi, reputasi global dan regional,prestasi penyelidikan yang menggunakan indikator penerbitan, staf akademik dan bilangan graduan Ph.D. 

Terdapat lapan indikator utama untuk penarafan subjek iaitu global research reputation, regional research reputation, publications, normalized citation impact, total citations, number of highly cited papers, percentage of highly cited papers dan international collaboration. 

 



Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan (foto) mengulas kejayaan itu merupakan pencapaian terbaik UPM dalam bidang Sains Pertanian dan sekali gus ia akan melonjakkan reputasi akademik UPM pada peringkat global. 

“Bidang pertanian merupakan niche area atau bidang kebitaraan UPM dan semua komuniti UPM menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian cemerlang ini kerana kesungguhan dan komitmen dalam memartabatkan ilmu pertanian telah meletakkan UPM di antara yang terbaik di dunia,” katanya. 
Best Global Universities Ranking turut menyenaraikan 5 universiti terbaik di dunia dalam bidang Sains Pertanian iaitu Wageningen University and Research Center, University of California – Davis, Cornell University, China Agricultural University dan Universidade de Sao Paolo. 

UPM merupakan universiti terbaik di rantau Asia Tenggara dan ketujuh terbaik Asia dalam bidang Sains Pertanian mengikut penarafan itu di mana 5 buah universiti dari China dan sebuah Taiwan. 

Sebelum ini UPM telah mengekalkan pencapaian terbaiknya dalam QS World University Ranking apabila dua tahun berturut-turut berada dalam kumpulan 100 universiti terbaik dunia dalam bidang pertanian dan perhutanan dan juga bidang pendidikan. 


SXDcQA5~