| Universiti Putra Malaysia

Rumah Tradisional Pembesar Istana NS didirikan di UPM sebagai Muzium Warisan

Oleh Muhamad Najkhan Mazlan



SERDANG, 14 Mac (UPM) -  Kerja-kerja pembinaan semula rumah tradisional Negeri Sembilan milik Orang Empat Istana Seri Menanti bermula hari ini dengan bacaan doa selamat sebelum upacara menaikkan tiang seri rumah.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif berkata rumah lama itu secara simboliknya dimasukkan ‘semangat’ pada tiang seri (tiang utama) rumah sebelum ianya ditegakkan.

“Mengikut kepercayaan orang Negeri Sembilan dahulu, objek seperti emas dan perak akan dimasukkan dalam lubang pada bawah tiang seri sebagai penyeri rumah.

“Proses menaikkan rumah ‘Tok Tonso’ ini melibatkan proses memasukkan semula beberapa objek iaitu duit syiling perak tahun 1935, duit syiling baru tahun 2013 sebagai  simbolik tahun rumah ini dinaikkan semula, dan juga ibu kayu iaitu kayu dari pohon pertama yang ditakik ketika mula-mula rumah dibina.

“Kadangkala sukar untuk kita percaya perkara sebegini di zaman moden ini, tetapi itulah keunikan adat Melayu lama sehinggakan hendak membina rumahpun mempunyai falsafah dan simboliknya,” katanya pada majlis menaikkan  rumah di sini.

Upacara itu disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad yang merupakan pencetus idea untuk mendirikan rumah itu sebagai muzium warisan.



Dr. Pauzi menerangkan rumah tradisional pembesar Negeri Sembilan mempunyai beberapa perbezaan dengan rumah masyarakat awam yang lain kerana ia mempunyai struktur yang hanya boleh dibina pada rumah kerabat diraja atau pembesar istana  sebagai lambang status.

“Ia mempunyai enam tiang gantung dengan corak berbeza yang dipanggil ‘Tiang Gantung tak Jejak Bumi’ yang bersambungan pada bahagian bumbung dan dua tebar layar yang diberi nama Tebar layar Bertingkat Tiga dan Tebar Layar Mentari Terbit Pagi pada bahagian kanan dan kiri rumah induk dan pintu hadapan.

Kata Dr. Pauzi lagi, kebanyakan rumah pembesar memiliki lima bahagian utama berbanding tiga yang ada pada rumah masyarakat awam iaitu anjung, serambi, rumah induk atau ibu, loteng dan kelek anak atau rumah dapur.

“Keunikan Tebar Layar Mentari Terbit Pagi merupakan struktur yang dipasang pada bahagian hadapan rumah mengadap matahari terbit. Ia dibina sedemikian rupa bagi memudahkan tuan rumah untuk menentukan arah kiblat.

“Satu lagi keunikannya ialah mempunyai tempat untuk memandikan mayat di dalam rumah kerana menjadi kebiasaan masyarakat lama Negeri Sembilan memandikan jenazah  ahli keluarga di dalam rumah,” katanya lagi.

Rumah milik Datuk Raja Diwangsa Muhammad Yunus Jabar atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Tonso’ itu diserahkan oleh waris beliau kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Februari lalu untuk dipulihara sebagai Muzium Warisan Melayu yang dijangka siap pada bulan September tahun ini.

--UPM/MNM


WXDdEAV~