| Universiti Putra Malaysia

Putra Outreach Physics bantu guru, pelajar Bagan Datuk

Oleh: Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen 

 

BAGAN DATUK – Putra Outreach Physics Universiti Putra Malaysia (UPM) terus melakukan aktiviti sukarelawan, kali ini untuk daerah Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, bagi menarik dan meningkatkan minat pelajar dalam mata pelajaran Fizik, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program dengan slogan ‘Moh Berfizik Kome’ itu  melibatkan 176 orang pelajar dari lapan buah sekolah menengah di daerah Bagan Datuk, iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, SMK Seri Muara, SMK Ulu Bernam, SMK Hutan Melintang, SMK Tun Abdul Razak, SMK Seri Perkasa dan SMK Khir Johari.

Tujuan program adalah untuk membantu guru dan pelajar memahami formula yang digunakan dalam subjek Fizik serta meningkatkan lagi semangat pelajar dalam Fizik.

Ketua pasukan Putra Outreach Physics, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata apabila pelajar mula menghafal konsep dan formula fizik tanpa cuba memahaminya, pelajar akan rasa tertekan kerana kandungan yang perlu dihafal adalah begitu luas.

“Program ini adalah berorientasikan khidmat komuniti berbentuk ilmu pengetahuan yang dikhususkan dalam bidang Fizik. Melalui program ini, kita dapat memperkembangkan minda guru dan pelajar dalam mata pelajaran Fizik,” katanya.

Beliau berkata ia kerana program itu merangkumi beberapa komponen aktiviti yang menekankan aspek penting dalam menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman baharu seiring dengan usaha untuk merangsang pertumbuhan minda ke arah yang lebih aktif, cemerlang dan berinovatif.

“Aktiviti pembelajaran yang diadakan dalam bentuk LDK mendedahkan guru dan pelajar untuk belajar secara hands on sebagaimana penerapan dalam mengaitkan konsep Fizik,

“Konsep dan aktiviti yang direka menepati silibus fizik SPM. Dalam program kali ini, cara-cara seronok yang bersesuaian digunakan bagi tujuan ‘faham dan ingat’ turut diselitkan di dalam aktiviti outdoor, selain aktiviti kebudayaan seperti persembahan magik, nyanyian dan lakonan,” katanya.

Ketua Panitia Fizik, Maisara Md Yon menyifatkan program itu sebagai program berasaskan Fizik yang terbaik pernah disertainya.

“Program oleh Putra Outreach Physics ini adalah begitu kreatif dan inovatif. Ini dapat membantu saya dan rakan-rakan guru untuk menambah input dalam mempelbagaikan cara pengajaran dan pembelajaran Fizik,” katanya.

Peserta program, Jaganayha Rao A/L Ventiteswara Rao dari Sekolah Menengah Sains Teluk Intan berkata, program itu berjaya menarik minat beliau untuk mempelajari Fizik dengan lebih mendalam dan yakin untuk skor A+ dalam Fizik.

Peserta daripada SMK Seri Muara, Heng Zhi Shan turut tidak dapat menyembunyikan perasaannya gembira kerana dapat mempelajari ilmu baharu berkaitan Fizik.

Seorang lagi peserta, Aisyah Nabila Siran, berkata program itui meningkatkan pengetahuan dan membuatkan beliau lebih meminati Fizik kerana berjaya memahami konsep-konsep yang dipelajari dalam subjek itu. - UPM

WXDdDA~