| Universiti Putra Malaysia

Program Experience Works beri peluang pelajar UPM menerokai dunia kerjaya

Oleh Noor Eszereen Juferi
Gambar Marina Ismail



SERDANG, 21 Januari (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Sime Darby mewujudkan program Experience Works iaitu program bekerja sambil belajar kepada pelajar UPM untuk menerokai dunia kerjaya sebenar.

Program dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Yayasan Sime Darby adalah di bawah seliaan sepenuhnya oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata projek perintis ini disasarkan kepada pelajar Tahun Satu akan dipilih menyertainya serta ditempatkan bertugas di pejabat pentadbiran atau fakulti bagi melakukan tugasan pentadbiran.

“Pelajar tersebut akan dibayar gaji melalui sumbangan dana oleh pihak Yayasan Sime Darby serta pelajar diberi peluang menerokai senario dan permasalahan di tempat kerja.

“Ini  akan memberi nilai tambah kepada pelajar apabila bergraduat dan pengalaman kerja  boleh dimuatkan dalam resume,” katanya selepas majlis pertukaran dokumen MoA antara Yayasan Sime Darby Malaysia dengan UPM di sini.



Tambah beliau, melalui program ini Yayasan Sime Darby akan menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta untuk program tersebut bagi UPM sahaja dan pemilihan UPM oleh syarikat gergasi itu adalah satu pengiktirafan kepada universiti.

“Program ini merupakan program yang sangat baik serta perlu dicontohi oleh badan korporat dan swasta dalam turut sama mencorakkan pendidikan tinggi negara agar terus relevan dan berkeupayaan memberikan modal insan berkualiti kepada negara,” katanya.



Prof. Dato’ Dr, Mohd Fauzi berharap pelajar UPM mengambil peluang tersebut untuk menimba ilmu pengetahuan di kedua-dua bidang ini akan menjadikan pelajar tersebut berkelebihan berbanding dengan graduan lain kelak.

Sementara itu, seramai 25 pelajar UPM akan memulakan sesi kerja  di pusat tanggungjawab di bawah pengurusan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM. Pelajar tersebut akan dipantau sepenuhnya oleh PKPP dan Yayasan Sime Darby. – UPM

- nej/kgo


WXEURA~