| Universiti Putra Malaysia

Program Citi-UPM didik wanita matang bebas kebergantungan kewangan

Norizahamalina Ramli
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 12 Feb – Institut Gerontologi (IG), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Citi Foundation menganjurkan Program Citi-UPM Pendayaupayaan Kewangan untuk Wanita Matang bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai keperluan perancangan kewangan di hari tua.

Pengarah IG, Prof. Dr. Tengku Aizan Hamid berkata program itu turut mendidik wanita dalam lingkungan umur 40 hingga 60 tahun untuk lebih prihatin mengenai perancangan keselamatan kewangan dan memastikan mereka bebas daripada kebergantungan kewangan dengan mendayaupayakan mereka untuk hari tua.

Katanya, majoriti wanita di kalangan keluarga berpendapatan rendah menghadapi masalah kewangan yang meruncing apabila mencapai usia tua.

 



“Antara faktor penyebab masalah itu adalah kerana tiada perancangan serta pengurusan kewangan dalam institusi keluarga,” katanya di majlis apresiasi dan penyampaian sijil Program Citi–UPM Pendayaupayaan Kewangan untuk Wanita Matang di sini.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof.Dr.-Ing.Ir. Renuganth Varatharajoo kepada 88 peserta yang terdiri daripada Persatuan Wanita UPM (PERMATA), Persatuan Malaysia Hindu Sangam, Persatuan Muslimah Paya Jaras dan Persatuan Wanita Sri Melaka.

Penganjuran Majlis Apresiasi & Penyampaian Sijil Program Citi-UPM Pendayaupayaan Kewangan untuk Wanita Matang itu juga bertujuan menghargai penglibatan peserta program tersebut yang bermula sejak awal tahun 2014.

Peserta program, Nurul Ain Yap Abdullah, 53, berkata sebagai seorang pengusaha salon wanita, program itu membantu beliau menyelaraskan hutang perniagaan bagi mengelak dibelenggu masalah kewangan di kemudian hari.

“Program ini mendidik saya untuk lebih peka dalam mengendalikan pengeluaran wang yang berjumlah besar untuk kegunaan perniagaan serta digalakkan wanita untuk mengikuti program sebegini,” katanya.

Bagi Saraswathy a/p Chellamuthu, 34, walaupun umur beliau belum mencapai kategori sebagai wanita matang, tetapi ilmu yang diperoleh melalui program itu memberikan pendedahan baharu untuk beliau membudayakan amalan kewangan secara berhemah.

“Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, program ini mengubah cara hidup saya terutamanya mengenai pentingnya mempunyai simpanan untuk kegunaan kecemasan kelak," katanya. - UPM


WXDdSAb~