| Universiti Putra Malaysia

Professor Jeffrey D. Sachs beri ucaptama pembangunan mampan dan kelestarian di UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari   
Foto: Noor Azreen Awang  

SERDANG, 17 Nov – UPM buat julung kalinya menganjurkan Simposium Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan inisiatif hijau bagi menyediakan peluang kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT), industri dan individu mendapatkan amalan terbaik dalam pelaksanaan SDG yang dirasmikan oleh YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPM.

Tumpuan simposium ini ialah ucaptama yang disampaikan oleh Professor Jeffrey D. Sachs yang merupakan Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) bagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan pernah menjadi Penasihat Khas kepada tiga Setiausaha Agung PBB.

Beliau berkata universiti perlu memainkan peranan yang penting untuk membawa komuniti bersama dalam melaksanakan SDG terutamanya dalam menghadapi perubahan iklim, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Pembangunan lestari ini adalah merujuk kepada 17 matlamat SDG yang telah digariskan oleh PBB dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015, di New York, Amerika Syarikat sebagai matlamat yang perlu dicapai pada tahun 2030.

“Saya melihat usaha UPM dalam melakukan praktis SDG ini perlu dipuji seperti cara UPM mengguna pakai tanah yang ada secara mampan. UPM boleh berkongsi dan meluaskan agenda penyelidikan SDG bersama masyarakat serta rantau lain.

“Kini, populasi semakin bertambah dan aktiviti menebang pokok serta pembakaran tanah secara terbuka semakin berleluasa untuk menampung pembangunan pertambahan penduduk dan keadaan ini amat merisaukan. Saya mengharapkan agar UPM dan Malaysia dapat membantu mengatasi atau mencari tindakan yang dapat mengurangkan perkara ini,” katanya.

Tambahnya lagi, penyelesaian kepada isu perubahan iklim sudah lama diperkatakan di peringkat PBB seperti menerusi Perjanjian Paris dan semua negara perlu mengambil tindakan menghadapi perubahan iklim serta memperkenalkan cara untuk menghadapi perkara ini secara mampan dan lestari.

Naib Canselor UPM, YH. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata penganjuran UPM dalam Simposium SDG dan inisiatif hijau ini sejajar dengan matlamat kelima Pelan Strategik UPM 2021-2025, Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan dan Amalan Kelestarian Hijau.

“Sebagai sebuah universiti paling lestari di negara berdasarkan UI Green Metric, UPM komited dalam menyokong agenda SDG dengan mewujudkan Dasar Hijau di kampus dan mempraktikkan beberapa perkara selaras dengan amalan terbaik seperti penggunaan tenaga solar dan pengurusan sisa melalui proses pelupusan dan rawatan.

“UPM juga berusaha untuk memulihara kepelbagaian biologi dalam persekitaran semula jadi dan buatan universiti. Sebagai salah satu kampus lestari yang aktif dan peneraju Kampus Hijau di Malaysia pelaksanaan SDG yang menyeluruh memerlukan kerjasama pelbagai sumber antaranya tenaga kerja, ruang fizikal, kapasiti bangunan serta pembiayaan,” katanya. – UPM

SXEZIAQ~