| Universiti Putra Malaysia

Prof UPM antara 20 wanita paling berpengaruh dalam bidang sains di dunia Islam

Oleh Kuah Guan Oo


SERDANG, 29 Jan (UPM) – Seorang profesor Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai antara 20 wanita Islam paling berpengaruh dalam bidang sains di dunia Islam oleh Muslim-Science.Com, sebuah portal dalam talian yang memberi tumpuan terhadap usaha menyemarakkan kembali kemajuan dan budaya sains di dunia Islam.

Prof Datin Paduka Khatijah Yusoff,  seorang pakar mikrobilogi, biologi melekul dan bioteknologi serta pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dari 2008 hingga 2013.

Prof Khatijah adalah seorang daripada dua saintis wanita Malaysia yang diberi pengiktirafan oleh Muslim-Science.Com sebagai antara 20 wanita sains yang ‘merupakan wirawati tidak dicanang dan kurang dikenali dari dunia Islam, yang sumbangannya terhadap kemajuan sains dan inovasi di dunia Islam tidak kurang hebatnya berbanding tokoh lain”.

(Seorang lagi rakyat Malaysia yang mendapat pengiktirafan serupa ialah Prof Adeeba Kamarulzaman dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya yang menumpuan kerjayanya dalam bidang pencegahan, rawatan dan penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit dan HIV/AIDS).

Kini, Prof Khatijah adalah profesor di Jabatan Mikrobiologi, Fakulti Sains Biotechnologi dan Biomolekul, tempat beliau terus menjalankan penyelidikannya.

Dilahirkan dan mendapat pendidikan awal di Pulau Pinang, beliau mendapat Biasiswa Rancangan Colombo untuk melanjutkan pelajaran di La Trobe University, Australia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dengan Kepujian dalam bidang mikrobiologi pada 1979.

Beliau seterusnya memperoleh biasiswa penyelidikan daripada La Trobe University untuk mengikuti pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD)  dalam bidang genetik mikrob pada 1983 dan selepas itu menyertai UPM sebagai pensyarah pada tahun yang sama.

Penyelidikan yang beliau jalankan meliputi bidang genetik mikrob hinggalah biologi molekul berkaitan virus penyakit Newcastle (NDV) dan paramiksovirus lain.

Pada 1994, Prof Khatijah dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya dan sebagai profesor penuh pada 2001. Beliau menyandang jawatan Dekan Fakulti Sains Bioteknologi dan Biomolekul pada 2006,  sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa UPM  dari 2007 hingga 2008.



Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan beliau dalam bidang pengajaran dan penyelidikan berkaitan mikrobiologi, khususnya biologi molekul NDV, Prof Khatijah memperoleh beberapa anugerah. Antaranya  Carlos J Finlay Prize bagi biologi oleh UNESCO pada 2005 dan Anugerah Saintis Muda Negara pada 1990.

Beliau juga dipilih Houghton Trust untuk menyampaikan Syarahan Houghton Ketiga di Kongres Persatuan Veterinar Ayam Itik Sedunia (WVPA) Ke-12 pada 2002 kerana sumbangannya kepada industry berkenaan.

Prof Khatijah telah menghasilkan lebih 100 makalah dalam jurnal ternama dan lebih 290 kertas kerja untuk prosiding dan abstrak. Di samping itu, saintis luar biasa ini telah memfailkan beberapa paten serta cap dagangan dan kini merupakan pemegang satu paten Amerika dan satu paten Malaysia.

Beliau dilantik sebagai felo di Akademi Sains Malaysia dan merupakan penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) daripada Sultan  Selangor, yang membawa gelaran “Datin Paduka” pada 2006.

Muslim-Science.Com, dalam pengumumannya pada 13 Januari 2014, berkata senarai  20 saintis wanita Islam itu dikeluarkan untuk julung kalinya sebagai suatu pengiktirafan terhadap mereka yang mencapai kejayaan luar biasa dalam kerjaya masing-masing.

Mereka dipilih dari lima rantau utama Dunia Islam iaitu Asia Tenggara dan Asia Tengah, Teluk dan Parsi, Maghrib dan Afrika Utara dan Amerika Utara dan Eropah serta meliputi sekurang-kurangnya enam disiplin.

Mereka terbahagi kepada tiga kategori iaitu perintis, pembentuk dan saintis sedang muncul.

Prof Khatijah tergolong dalam kategori “pembentuk”, manakala Prof Adeeba dalam kategori saintis sedang muncul.

Pemenang lain adalah dari Pakistan, Maghribi, Qatar, Turki, Mauritius,  Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Iran dan Syria.  – UPM

-- nej/kgo/sp


WXDdGA0~