Prof Mohd Sapuan Jurutera Malaysia Pertama Dipilih Felo SAE Amerika Syarikat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Prof Mohd Sapuan jurutera Malaysia pertama dipilih Felo SAE Amerika Syarikat

Prof Mohd Sapuan jurutera Malaysia pertama dipilih Felo SAE Amerika Syarikat

Oleh Azman Zakaria


Prof Mohd Sapuan (kanan) menerima anugerah sijil Felo SAE AS dari Encik Khairil Anwar


SERDANG, 7 Julai - Ketua Laboratori Teknologi Biokomposit, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor Ir Dr Mohd Sapuan Salit mencipta sejarah menjadi jurutera pertama dari negara ini dipilih sebagai Felo Persatuan Jurutera Automotif (SAE) Antarabangsa, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Anugerah berprestij itu adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada beliau yang memberi sumbangan dengan impak yang signifikan terhadap teknologi mobiliti masyarakat melalui kepemimpinan, penyelidikan dan inovasi.

Hanya 20 orang diberi penganugerahan setiap tahun sejak Felo SAE diwujudkan pada 1975 dan pemilihan untuk penerima Felo dilakukan di kalangan profesional yang cemerlang di seluruh dunia.

Prof Dr Mohd Sapuan yang juga profesor bidang bahan komposit Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan menerima sijil, plak dan pin Felo daripada Pengerusi SAE Malaysia, Encik Khairil Anwar Abu Kassim pada Mesyuarat Agung Tahunan SAE Malaysia ke-13 di Marina Putrajaya, 26 Jun lalu, selepas beliau tidak dapat menghadiri majlis penganugerahan asal yang diadakan di Detroit, Amerika Syarikat.


 Sijil FSAE


SAE International adalah persatuan sejagat dianggotai lebih 138,000 jurutera dan pakar teknikal berkaitan industri aeroangkasa, automotif dan kenderaan perdagangan.

Sejak penubuhannya pada 1905, SAE telah menganjur dan melaksanakan program yang memberi pengiktirafan kepada pencapaian luar biasa dalam reka bentuk, kejuruteraan dan penghasilan pelbagai bentuk kenderaan serta komponen, sistem dan bahan yang digunakan untuk kenderaaan.

Prof Dr Mohd Sapuan menyifatkan pemilihannya sebagai Felo SAE Antarabangsa itu sebagai pengiktirafan besar bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga UPM khususnya.

“Saya bersyukur menerima anugerah yang berprestij ini, tambahan pula ia begitu kompetitif,” katanya.

Menurutnya, mereka yang dipilih sebagai Felo SAE lazimnya adalah pegawai dari syarikat-syarikat automotif yang besar dan pensyarah dari Amerika Syarikat, Jepun serta negara-negara maju, dan jarang di kalangan negara membangun.

“Saya harap ini boleh menjadi pendorong kepada rakyat negara ini untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap bidang yang diceburi untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya .

Sebelum ini Prof Mohd Sapuan pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk SEARCA Regional Professorial Chair; ISESCO Science Award; Khwarizmi International Award; Kuala Lumpur Rotary Research Award; Alumni Award, University of Newcastle, Australia; Anugerah Fellowship Naib Canselor, UPM; Anugerah Karyawan Putra Cemerlang, UPM; Anugerah Penyelidik Cemerlang UPM;  Anugerah Fellowship, Plastics and Rubber Institute, Malaysia; dan Anugerah Penerbitan FRIM di samping diiktiraf sebagai Five Star Role Model Supervisor oleh UPM dan Outstanding Reviewer oleh Elsevier, Belanda. .– UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566347726