| Universiti Putra Malaysia

Produk OryGOLD dilancarkan sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM


SERDANG, 12 Okt Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menghasilkan produk berasaskan beras perang cambah yang mampu mengurangkan risiko kencing manis, penyakit Alzheimer dan sakit jantung.

Ketua penyelidik, Prof. Dr. Maznah Ismail berkata, penyelidikan di bawah Institut Biosains UPM itu telah dimulakan sejak 2006 melibatkan produk beras perang cambah yang baik untuk kesihatan dikenali sebagai OryGOLD dan minuman kesihatan OryGOLD Drink.

Beliau berkata beras perang cambah OryGOLD merupakan produk beras yang dihasilkan melalui proses percambahan dan boleh digunakan sebagai alternatif kepada beras putih.

 



 “Beras tersebut mampu mengurangkan masalah Alzheimer serta mencegah penyakit seperti kencing manis dan kolestrol tinggi malah beras ini juga berpotensi sebagai bahan asas kepada penghasilan bahan makanan berasaskan bijirin seperti bubur segera, makanan bertenaga dan emping,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM serta pelancaran OryGOLD di Taman Pertanian Universiti, UPM, Serdang.

Prof. Dr. Maznah dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan berkata produk itu lebih baik daripada beras perang biasa kerana sebatian bioaktif yang meningkat ketika percambahan melalui pengaktifan enzim tertentu dalamlapisan dedak beras.

 “Pada masa ini, beras berkenaan belum terdapat di pasaran, tetapi mereka yang berminat boleh mendapatkkannya di UPM dengan harga RM 25 sekotak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yakin UPM sebagai institusi terulung dalam pendidikan pertanian dan agribio akan  menjadikan kelestarian bekalan makanan sebagai salah satu agenda penting dalam penyelidikan dan pembelajaran menerusi pelbagai aktiviti pada ekspo kali ini.

“Saya berharap UPM akan berganding bahu dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar agenda pertanian negara dapat dicapai melalui penyelidikan dan inovasi. Ini amat penting kerana kecukupan, akses, khasiat dan keselamatan makanan adalah penting untuk kesejahteraan rakyat,” katanya semasa merasmikan ekspo.

Beliau berkata terdapat lima langkah bagi menjamin kelestarian bekalan makanan negara selain mentransformasi sektor pertanian sebagai sektor yang moden, dinamik serta kompetitif.



“Langkah itu adalah meneroka bidang pertanian bernilai tinggi, meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor pertanian serta pembabitan swasta sebagai pemacu pertumbuhan.

“Langkah strategik itu sebagai persediaan menghadapi kesan perubaha klim, meluaskan amalan pertanian mesra alam, melaksanakan amalan kitar semula,
membangunkan sumber manusia berkualiti serta menghasilkan pemakanan untuk kesihatan rakyat,” katanya.

Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi pula berkata ekspo yang bertemakan‘Kelestarian Bekalan Makanan Menjamin Kesejahteraan Negara’ berkait rapat dengan sekuriti makanan (food security).

“Tema itu sesuai kerana kepesatan pembangunan, pertambahan penduduk, cuaca yang tidak menentu, pencemaran alam dan peningkatan penggunaan biofuel akan menyebabkan pengeluaran makanan terancam dan peningkatan harga makanan.

“Bidang sekuriti makanan itu juga merupakan bidang penyelidikan utama yang diterajui oleh UPM berdasarkan niche area, serta kekuatan sumber yang dimiliki sebagaimana yang diputuskan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen yang dianjurkan di Bukit Ekspo sejak tahun 1977 bertujuan mempromosi aktiviti universiti dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional.

Ekspo yang bermula dari 12 hingga 16 Oktober itu juga memberi tumpuan kepada aktiviti pertanian dengan penjualan hasil pertanian bukan sahaja daripada UPM tetapi kepada pelajar dan pengusaha luar sebagai satu cara memberi peluang berniaga dan membuka minda serta minat pelajar kepada budaya keusahawanan.

Universiti turut berpeluang melaksanakan aktiviti khidmat profesional seperti klinik pertanian dan berkongsi permasalahan masyarakat dalam bidang kepakaran dan niche area universiti merangkumi bidang pertanian dan berkaitan pertanian yang berimpak tinggi.


SXDdMAw~