| Universiti Putra Malaysia

Poliklinik Putra Medik tawar harga berpatutan rawatan kesihatan dan khidmat rund


SERDANG, 29 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) kini membuka klinik swasta pertamanya, Poliklinik Putra Medik di Seri Kembangan, Selangor yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan, rawatan kesihatan dan perundingan pakar kepada orang ramai pada harga yang berpatutan.

Poliklinik yang beroperasi sejak 26 November lalu dikendalikan oleh pakar perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, menawarkan perkhidmatan saringan kesihatan kepada orang awam, rawatan seduk kahak, berkhatan, pembedahan luka-luka kecil, rawatan nebulizer kepada pesakit asma, ujian air kencing, pemeriksaan tekanan darah dan suntikan imunisasi kepada kanak-kanak serta bakal haji.

Ketua Pegawai Operasi Poliklinik Putra Medik, Dr Muhammad Mohd Isa berkata setiap pesakit yang mendapat rawatan di poliklinik itu turut mendapat kemudahan rujukan ke Hospital Serdang. Malah potongan kadar caj rundingan pakar turut ditawarkan sempena pembukaan poliklinik.

“Pada masa terdekat poliklinik merancang untuk melaksanakan khidmat rawatan pakar fisioterapi, ultrabunyi (rahim, payudara dan abdomen), dermatologi (kulit), neurologi (saraf), gasteroentologi (perut dan usus), gerontologi (warga tua), konsultansi diet dan pemakanan oleh pakar dietetik dan nutrisi, pemeriksaan oleh pakar kanak-kanak, pembedahan (major operation) oleh pakar bedah dan pelaksanaan ujian darah yang tidak dilakukan di makmal biasa,” katanya.

Poliklinik Putra Medik yang beroperasi di alamat no. 1-12-G Putra Walk, Jalan PP25, Taman Pinggiran Putra Seksyen 2, Bandar Putra Permai, 43000 Seri Kembangan, Selangor memulakan operasinya pada jam 8 pagi hingga 9 malam setiap hari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang pada hari sabtu dan 9 pagi hingga 1 petang pada hari ahad & cuti umum. 

Maklumat lanjut hubungi talian 03-8959 89550 atau emailkan kepada poliputramedic@gmail.com.



Berita ini disediakan oleh Muhamad Najkhan Mazlan, 03-89466011 (Pejabat Pemasaran dan Komunikasi) dan foto oleh Ahmad Fuad Alwi, 03-89472770 (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan)


WXESKAP~