| Universiti Putra Malaysia

Pesta Ang Pau UPM perkenal budaya Zhong Hua kepada masyarakat

Oleh: Fong Yee Hui

 

SERDANG, 23 Feb -  Persatuan Senibudaya Zhong Hua Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Program Pesta Ang Pau UPM Ke-14 bagi memperkenalkan keunikan budaya Zhong Hua kepada masyarakat serta menggalakkan interaksi antara kaum di kalangan pelajar UPM.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berharap budaya Cina termasuk keunikan Zhong Hua akan terus diperkenalkan oleh generasi masa agar masyarakat berpeluang mengenali kebudayaan masyarakat Cina di Malaysia.

"Kita harus berbangga dengan kebudayaan kita dan menghargainya. Semoga kebudayaan Cina ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang demi menjamin kelangsungan perpaduan kebangsaan,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata program itu merupakan platform yang boleh mendalamkan dan menambah pengetahuan mahasiswa mengenai budaya Cina serta membolehkan mereka mempelajari kemahiran insaniah bagi membentuk keperibadian.

“Program ini diharap mampu memperkenalkan keunikan seni budaya Zhong Hua supaya kesefahaman tinggi, sikap bertoleransi dan saling menghormati terus dapat ditingkatkan di kalangan ahli jawatankuasa pelaksana program dan mahasiswa UPM,” katanya.

Pengarah program, Lim Jia Hao berkata program berkenaan mengalakkan interaksi antara kaum serta memberikan pendedahan mengenai perayaan Tahun Baru Cina  di kalangan pelajar UPM.

"Program Pesta Ang Pau UPM sentiasa berpandukan misi untuk memastikan pewarisan budaya Cina dan mewujudkan suasana meriah Tahun Baru Cina dalam kampus untuk membolehkan semua orang meraikannya bersama-sama,” katanya.

Pada program itu, persembahan ‘Wushu’ dipertontonkan oleh Kelas Wushu Persatuan Senibudaya Zhong Hua UPM, manakala Unit Publisiti Program Pesta Ang Pau UPM Ke-14 mempersembahkan Lagu ‘Xin Chun Song’ yang merupakan lagu tema program.

Pesta Ang Pau UPM itu adalah program tahunan Persatuan Senibudaya Zhong Hua UPM yang dimulakan pada 2006 dan bercirikan keharmonian, kepercayaan, bahasa, budaya dan amalan tradisional masyarakat Cina Malaysia. - UPM

 

WXDdWAU~