| Universiti Putra Malaysia

Perutusan Naib Canselor-UPM Lancar ‘Pertanian Bandar’ untuk jaminan makanan

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh 
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Pertanian Bandar untuk menggalakkan penduduk bandar (urban agriculture) yang pesat berhijrah dari desa supaya menjalankan aktiviti pertanian yang moden di ruang kediaman mereka yang terhad di bandar sebagai jaminan makanan negara menjelang 2020.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan dalam perutusannya kepada kira-kira 1,000 staf dan pelajar UPM berkata serentak dengan itu, UPM akan menjadi Pusat Kecemerlangan Jaminan Makanan dalam tempoh yang terdekat sebagai peneraju dalam jaminan makanan dan pertanian bandar.

”Fokus baru UPM ini menyumbang transformasi negara Malaysia sebagai pengeluar makanan yang mandiri.  Inisiatif ini tidak akan dijalankan oleh UPM secara bersendirian tetapi akan bekerjasama dan menerajui IPTA dan institusi penyelidikan berkaitan pertanian.  

”Penggunaan dan pemindahan teknologi seperti pertanian tepat, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), peningkatan mutu biji benih, teknik tanaman, fertigasi dan produksi, bioteknologi serta mekanisasi perlu ditingkatkan dalam modenisasi dan transformasi industri agromakanan. 

”Selagi kita tidak dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, selama itulah kita tidak dapat mengawal harga makanan dengan lebih berkesan,” katanya sempena majlis Perutusan 100 hari beliau dilantik sebagai Naib Canselor UPM yang ketujuh di sini hari ini.



Beliau berkata UPM akan mewujudkan showcase pertanian sebagai pusat rujukan untuk industri dan petani.  Aktiviti pengembangan dan klinik pakar akan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh supaya program pemindahan teknologi memberikan impak. 

Selain itu katanya UPM akan mempertingkatkan penglibatan pelajar menerusi program kesukarelawan menerusi usaha pemindahan teknologi untuk merealisasikan pertanian bandar dan pertanian pinggir bandar.

Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi menggariskan pendekatan baharu bagi proses transformasi industri agromakanan iaitu:

  • Jaminan bekalan makanan – kecukupan, kebolehdapatan, keselamatan dan mampu beli.
  • Pembangunan pertanian bernilai tinggi.
  • Pembangunan pertanian mampan.
  • Kluster pertanian dinamik, memaksimumkan penjanaan pendapatan.
  • Pelaburan swasta pemangkin transformasi pertanian moden.
  • Modal insan pertanian bestari dan berinformasi.
  • Pemodenan pertanian berpacukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), teknologi dan inovasi.
  • Keunggulan khidmat sokongan pertanian.

Pada majlis yang sama juga beliau menyerahkan sumbangan Tabung Lahad Datu berjumlah RM12,863 yang dikutip daripada pelajar dan kepada Media Prima Berhad.

Selain itu majlis turut melancarkan buku The Journey of Passion: UPM AACSB Story, Pemusatan Laman web PTJ, Pelancaran MILO-UPM Sports Academy Malaysia Breakfast Day dan Penyampaian Sijil MS ISO ISMS (nformation Security Management System).



Pencapaian Universiti pada tahun 2012 

  • Pencapaian petunjuk prestasi (KPI) UPM 2012 adalah membanggakan dalam portfolio akademik dengan mengeluarkan 457 graduan PhD berbanding sasaran 400, iaitu yang tertinggi dalam Malaysia.  
  • Sebanyak 42.7% graduan PhD berkenaan menamatkan pengajian dalam tempoh 4 tahun walaupun tempoh pengajian maksimum tanpa pertambahan semester ialah 5 tahun. 
  • Skor SETARA mencapai 81.5%.  Portfolio akademik menjana pendapatan sebanyak RM118.04 juta (sasaran RM90 juta).
  • Dalam portfolio penyelidikan dan inovasi, jumlah kumulatif faktor impak (CIF) pada 2012 melonjak 2,657.9 (sasaran 2,300 dan 308.2 pada tahun 2006 ketika  diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan).
  • Penerbitan makalah dalam jurnal bersitasi indeks (CIJ) mencapai 2,466,  tersasar berbanding sasaran 2012 sebanyak 2,700.
  • Menjana RM68.48 juta pendapatan melalui portfolio penyelidikan dan inovasi.  
  • Kebolehdapatan kerja graduan setelah enam bulan bergraduat 85.9% (sasaran 85%)  
  • Penetrasi industri 2,143 atau 29.6% industri yang strategik dan relevan kepada  UPM (berbanding sasaran 1,807 atau 24% daripada 7,229 industri)
  • Penetrasi komuniti 54 daerah (sasaran 24)
  • Sebanyak 94.6% majikan berpuas hati dengan graduan UPM
  •  Sebanyak RM14.55 juta telah berjaya dijana (sasaran RM10 juta) pendapatan di bawah portfolio hal ehwal pelajar dan alumni .  
  • Sebanyak 82.4% pensyarah UPM berkelulusan PhD (sasaran 80 peratus), menjadikan UPM  paling tinggi mempunyai pegawai akademik berkelayakan Ph.D dalam negara.   
  • Pejabat Bursar menjana RM46.5 juta (sasaran RM45 juta) termasuk kutipan hutang. 

Penambahbaikan KPI UPM pada tahun 2013

  • Mengeluarkan 500 graduan PhD pada tahun 2013;
  • Mencapai Kumulatif Faktor Impak 3,000;
  • Mencapai Jurnal Bersitasi Indeks 3,500;
  • Mencapai skor MyRA 88%;
  • Mencapai 86% kebolehdapatan kerja graduan dalam tempoh enam bulan bergraduat;
  • Membuat penetrasi kepada 30% industri dan 40% komuniti yang strategik dan relevan kepada UPM;
  • Menjana pendapatan sebanyak RM150 juta untuk portfolio akademik, RM100 juta untuk portfolio penyelidikan, RM40 juta untuk portfolio hal ehwal pelajar dan alumni, RM45 juta untuk portfolio jaringan industri dan masyarakat dan RM22 juta untuk portfolio bursar tidak termasuk kutipan hutang.

 Penjelasan isu-isu dan perancangan baru

1.   Hospital Pengajar UPM

 Pada 4 Feb lalu Kementerian Kesihatan bersetuju memberi kemudahan pengajaran dan penyelidikan di Hospital Serdang secara eksklusif untuk UPM iaitu menempatkan semula pelajar IPTS yang praktikal di Hospital Serdang ke hospital lain secara berperingkat. 

UPM juga mendapat RM600 juta daripada kerajaan untuk membina Hospital Pengajar UPM dengan kapasiti 400 katil termasuk peralatan hospital untuk mentransformasikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai pusat kecemerlangan dan pengajian perubatan untuk melahirkan pakar dan sub-pakar dengan lebih pesat.

UPM merupakan satu-satunya Universiti Penyelidikan yang menawarkan program pengajian perubatan yang masih tidak mempunyai Hospital Pengajar sendiri walaupun telah beroperasi lebih 17 tahun.  Ketiadaan Hospital Pengajar yang khusus bagi UPM menyebabkan kemajuan pengajian siswazah dalam bidang klinikal tertangguh selain pembangunan program pascasiswazah, kepakaran dan sub-kepakaran terbatas. 

 2.   MSSC UPM & Kyutech

 UPM dan Kyushu Institute of Technology (Kyutech) akan menawarkan program pasca siswazah secara dual degree di mana pada peringkat permulaan melibatkan pengajian  PhD.  UPM dan Kyutech telah menandatangani Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian untuk menubuhkan MSSC yang merupakan off-shore campus pertama universiti awam Jepun di luar negara.

Pelajar akan diselia oleh Jawatankuasa Penyeliaan Bersama kedua-dua pihak sebelum tesis mereka diperiksa oleh Jawatankuasa Peperiksaan Bersama dan akan dikurniakan dua ijazah oleh kedua-dua universiti.

 Usaha ini membolehkan bilangan pelajar Jepun yang mendaftar dengan UPM akan meningkat kerana kos pendidikan di Jepun adalah sangat tinggi. UPM pula menyediakan lokasi di sebahagian tingkat bawah bangunan yang menempatkan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat).  

MSSC terletak di bawah struktur UPM, dan dikawal selia oleh MSSC Liaison Committee yang dipengerusikan secara bersama oleh UPM dan Kyutech.  Pihak Kyutech telah memperuntukkan RM320 ribu sebagai peruntukan tahunan. 



 2.   Penjimatan Perbelanjaan

Memperkenalkan langkah tambahan  iaitu bagi PTJ (jabatan) yang dapat membuat penjimatan tidak akan potong peruntukan mengurus untuk tahun berikutnya tetapi akan memberikan matching grant berdasarkan jumlah penjimatan itu. 

Matching grant itu datang daripada tabung bidaan dan UPM akan hadkan pemberiannya kepada 5 PTJ terbaik yang menghasilkan penjimatan. 

Sebagai sebuah universiti bertaraf autonomi, UPM menjana pendapatan sendiri di mana menjelang tahun 2020 UPM akan diberi 40% geran kerajaan untuk belanja mengurus sementara 60% lagi perlu dijana oleh UPM berbanding sekarang 70% daripada belanja mengurus datangnya daripada geran Kerajaan. 

Melalui pelaksanaan penjimatan wajib, 10% peruntukan mengurus semua PTJ dijadikan sebagai dana untuk bidaan bagi mempertingkatkan prestasi dan perkhidmatan serta menjana pendapatan.

 3.   Hala Tuju Kampus Bintulu dan Institut Kajian Persekitaran Borneo

Menubuhkan Institut Kajian Persekitaran Borneo di Kampus Bintulu yang menempatkan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan yang dapat menjalankan kajian dalam bidang berkenaan dengan lebih menyeluruh serta menjadi pusat rujukan bidang perhutanan tropika pada masa hadapan di kampusnya di Bintulu.

 4.   Muzium Warisan Melayu

Menubuhkan Muzium Warisan Melayu yang pertama di negara ini dengan memberi fokus kepada artifak Melayu antara lainnya manuskrip Melayu, senjata tradisional Melayu, tekstil Melayu dan busana Melayu untuk dimanfaatkan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, dan pengembangan.

5.  
Transformasi Sistem Pengangkutan dan Program Berbasikal

Memulakan transformasi sistem pengangkutan dalam kampus mulai Semester Pertama 2013/2014 di mana pelajar akan ditempatkan di kolej yang berhampiran dengan fakulti mereka. Selain itu jadual waktu pula akan dirangka dengan tujuan meminimumkan pergerakan pelajar.  Hal ini akan dapat menggalakkan pelajar berjalan kaki dan tidak membawa kenderaan bermotor.

Selain itu UPM menggalakkan pelajar menunggang basikal sebagai satu gaya hidup yang lebih sihat dan menyeronokkan.  Pengurangan perkhidmatan bas akan menyebabkan berlaku penjimatan yang boleh menaikkan taraf laluan berbasikal dan pejalan kaki.

UPM juga mengumumkan petang Jumaat akan dijadikan petang berbasikal atau berjoging di kalangan ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan Pegawai Kanan selain menjadi program melawat kampus oleh Naib Canselor untuk meninjau kebersihan, kemajuan pembangunan dan keselamatan.

6.   Klinik Pengembangan Ilmu

Mengadakan Klinik Pengembangan UPM dengan mengubahsuai sebuah bas yang bertindak menjadi Klinik Pengembangan Pertanian,  Veterinar, Kesihatan, Kejuruteraan dan Sains Sosial untuk merakyatkan ilmu. 

Bas tersebut akan digunakan mengikut giliran aktiviti pengembangan supaya rakyat dapat memperoleh ilmu dan teknologi bagi membantu meningkatkan kualiti sosioekonomi mereka.


WXDdAAM~