| Universiti Putra Malaysia

Personaliti TV peroleh Sarjana Muda

Oleh: Putri Nabila Zulfakar

 

SERDANG, 30 Okt - Pembaca berita sukan Nasional 8 Radio Televisyen Malaysia (RTM), Iffah Mohd Hazim berkata minatnya untuk belajar dan terlibat dengan industri media banyak mendorongnya untuk sentiasa memberikan yang terbaik sehingga berjaya menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Iffah, 27, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi pada majlis Konvokesyen UPM ke-42 hari ini.

 

Perjalanan pengajian anak bongsu daripada lima beradik itu bermula dalam bidang interior design di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum menyambung pelajaran dalam program Asasi Seni di Kolej dan Universiti SEGi, Kota Damansara. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam program ijazah sarjana muda major penyiaran di UPM.

 

Beliau aktif dalam pengurusan acara di luar UPM yang menyebabkannya menghadapi kekangan masa untuk menyertai aktiviti-aktiviti di kolej, fakulti dan universiti.

 

“Saya tinggal di kolej hanya untuk satu semester… masa yang saya ada amat terhad berikutan menyertai aktiviti luar seperti freelance emcee, hosting, party planning dan menyanyi.

 

“Jadi, masa lapang yang saya ada memang digunakan untuk pergi ke kelas dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah,’’ katanya yang mengakui bahawa bidang pengacaraan ialah bidang yang difokuskannya berbanding nyanyian yang hanya dijadikan sebagai hobi.

 

Pengalamannya selaku pengacara selama tujuh tahun merupakan antara faktor beliau memulakan karier bersama RTM setelah berjaya dalam temu ramah rancangan Planet Sukan. Peluang menjalani praktikal di RTM selama lima bulan digunakannya sebaik mungkin untuk menimba ilmu.

 

 

 

 

Beliau berkata, ibu dan ayahnya adalah antara sumber inspirasi paling besar dalam hidupnya.

 

“Ayah  yang merupakan graduan Doktor Falsafah (PhD)  adalah sumber semangat saya.

Ibu pula sebagai bekas guru banyak membantu dan sebagia sumber kekuatan saya,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat sarjana tahun hadapan dalam bidang Komunikasi Korporat. - UPM

WXEURA~