| Universiti Putra Malaysia

Peranan besar ASAIHL jadikan Asia Tenggara hab pendidikan


Oleh: Azman Zakaria
Foto:  Noor Azreen Awang

PUTRAJAYA,  5 Dis - Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) berdepan agenda yang lebih besar untuk memperkenal dan menjadikan Asia Tenggara sebagai hab pendidikan ekoran landskap baharu pendidikan tinggi yang dialami oleh rantau ini.

Presiden ASAIHL, Prof Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata tatkala abad ke-21 bergerak, dunia baharu pendidikan tinggi global juga semakin pantas bergerak dan pada masa yang sama lebih kompleks.

Prof Datin Paduka Dr. Aini, yang juga Naib Canselor UPM, berkata kini terdapat keperluan yang lebih besar untuk melakukan transformasi mengenai cara mendidik dan melatih seseorang mengenai kompetensi yang diperlukan dalam teknologi maklumat dan komuniskasi (ICT), penyelidikan dan berfikir secara kritikal.

Katanya, masyarakat juga mesti digalakkan membangunkan minda global untuk memahami kepelbagaian budaya universal dan menghargai realiti dan keperluan menggerakkan kepelbagaian budaya dalam era moden ini.

“Kunci pemacu transformasi ini adalah kemajuan komunikasi dan perkhidmatan  teknologi, masyarakat berpengetahuan yang ramai, meningkatkan mobiliti staf dan pelajar antarabangsa, meningkatkan kadar pelaburan swasta dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Persidangan ASAIHL 2016, di sini.

Persidangan tiga hari bertemakan “Borderless Open Access Education” itu adalah platform membincang dan bertukar idea mengenai perkembangan dan inovasi terkini mengenai pendidiikan tinggi dalam abad ke-21. Ia dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Mary Yap Kain Ching yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh.



Prof. Datin Paduka Dr. Aini juga berkata pendidikan tanpa sempadan mempunyai potensi implikasi jangka panjang yang lebih mendalam terhadap bentuk dan struktur pendidikan di Asia dan global.

“Terdapat beberapa motivasi berbeza di kalangan penyedia pendidikan tinggi dalam menggalakkan bentuk baharu dunia tanpa sempadan, khususnya pendidikan virtual/jarak jauh, pengajaran dan pembelajaran.

“Ini termasuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dalam lingkungan struktur semasa, pengurangan kos, penekanan lebih besar terhadap pendekatan fokus pelanggan, peluang niche baharu, dan pengekalan dan penggalakkan ketamadunan dan nilai manusia sejagat,” katanya.

Katanya, kerjasama efektif dan kreatif di kalangan anggota ASAIHL akan dapat menggalak dan memperkembangakan sektor pendidikan tinggi global untuk faedah semua ahli. – UPM

 

 

 


WXEYFA4~