| Universiti Putra Malaysia

Peranan baharu untuk ladang UPM, tapak ujian unggul untuk pertanian

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 24 April (UPM) – Kepada warga kerja dan pelajar  Universiti Putra Malaysia (UPM), mereka tahu apa yang anda katakan apabila anda bercakap mengenai “ladang” dalam kampus.

Tetapi kepada orang luar “ladang” adalah  kawasan tanah turun-naik seluas 426 hektar (atau 1,022 ekar) iaitu Taman Pertanian Universiti (TPU) yang dikhususkan kepada pertanian dan penternakan untuk tujuan pendidikan, penyelidikan dan latihan selama lebih setengah abad.

Selama bertahun-tahun lamanya sejak zaman penjajah British sehingga sekarang, beribu-ribu graduan pertanian UPM bertungkus-lumus menimba kemahiran di ladang itu, sedang institusi ini berkembang daripada sebuah sekolah kepada sebuah institut, maktab dan kemudian sebuah universiti penyelidikan pelbagai disiplin.

Dari tapak ujian unggul pertanian Malaysia, tidaklah keterlaluan untuk menyatakan graduannya telah lulus dan gigih membantu membina negara, di mana mereka memainkan satu peranan besar dalam mencorakkan pertanian negara, terutama sekali industri getah dan kelapa sawit yang menjadi pencapaian amat dikagumi negara-negara lain.



Pemuda dan pemudi ini juga telah memainkan peranan dalam membimbing pesawah padi di Kedah dan Perlis untuk menanam dua kali semusim apabila skim pengairan Muda mula digunakan pada lewat 1960-an, mengubah serta menambah baik kehidupan petani-petani itu.

“Petani-petani ini telah melalui waktu-waktu pahit manis dan zaman susah dan senang,” kata Prof Dr Abdul Shukor Juraimi, Dekan Fakulti Pertanian sedang beliau menggariskan peranan baru untuk dilaksanakan oleh TPU pada hari-hari mendatang.

Pada zaman gemilangnya, ladang berkenaan mempunyai tanaman kopi, teh dan koko di samping tanaman utama iaitu getah dan kelapa sawit. Kebun buah-buahan seperti durian dan rambutan menjadikan UPM begitu terkenal di kalangan penduduk Lembah Klang.

Bagaimanapun, sedang pemerintah mengubah fokusnya kepada perindustrian, peranan ladang yang merupakan sebuah pusat belanjawan itu dikecilkan.

“Tetapi kini Naib Canselor yang baru, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan, telah memberi kita tugas mengubah ladang itu dengan fungsi baharu jadi ia boleh menguntungkan dan mampan,” kata Prof Shukor, sambil menambah bahawa pertanian masih nic dan bisnes utama UPM.

“Kita perlu melihat bagaimana menjana pulangan lebih baik jadi pelajar kita melibatkan diri dan belajar pengurusan ladang, pulangan kepada pelaburan dan apa diperlukan, sebagai contoh, untuk mengurus sehektar ladang  kelapa sawit.

“Kita tahu kita tidak mungkin menjadi sehebat sektor swasta tetapi ladang UPM seharusnya mampu bergerak ke hadapan sendiri dan terus menjadi tapak ujian bagi pertanian Malaysia,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa transformasi itu bukanlah tugas yang mudah dan memakan masa beberapa tahun untuk mencapainya, memandangkan tumbuhan dan pokok mengambil masa berbulan-bulan dan bertahun-tahun sebelum mengeluarkan hasil.



Sebagai contoh, pakar-pakar UPM telah mula mencuba tembikai batu kira-kira 20 tahun lalu dan buah pertamanya rasa tawar. Tetapi kini buah itu yang biasanya diimport, bukan saja ditanam dalam negara tetapi juga telah mencapai tahap kemanisan 12 atau 13 brix (ukuran gula dalam buah) sama seperti yang diimport.

Satu lagi pencapaian ladang itu adalah rumput sa Tiri digunakan di padang golf. Digelar rumput  kontot super, warnanya yang hijau gelap, apatah lagi kehebatannya kerana ia mampu menahan tekanan air dan teduh.

Di antara padan golf yang menggunakan rumput sa Tiri adalah Templer Park, Kelab Golf Damai dan padang golf UPM manakala kawasan boling padang Bayu di Klang dan padang boling Sepang juga menggunakan rumput yang sama.

Dari ladang, kata Prof Shukor mereka berjaya menternak kacukan di antara ayam kampung dengan ayam hutan yang liar. Kacukan baru itu digelar akar putra adalah lebih besar dan cepat membesar.

Dari ladang juga saintis UPM berjaya membiakkan orkid dalam tabung uji sama seperti pengklonan daripada sehelai daun atau sebarang tisu.Cara ini yang disebarkan kepada pekebun orkid swasta hari ini menjamin bunga orkid dihasilkan adalah salin tak tumpah seperti pokok asal berbanding jika dibiak daripada benih.

Pada zaman gemilangnya, kebun itu adalah lebih besar daripada apa yang wujud hari ini, kata Pengarah TPU, Prof Dr Abd Wahid Haron sambil menarik perhatian ketika itu ada beratus-ratus ternakan, kerbau, kambing dan pelbagai jenis burung.

Ladang itu menjadi kecil bagi memberi jalan kepada pembangunan seperti pembinaan fakulti baru, lebuh raya dan URL menghubungkan KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kita telah mula memikirkan cara menjana pendapatan daripada ladang kita, terutama daripada buah-buahan dan sayur-sayuran walaupun bisnes utama kita masih mengajar dan penyelidikan,” katanya.

Ada buah-buahan dan herba jarang ditemui di ladang berkenaan seperti kacang Brazil, buah pala dan mahkota dewa, pokok kecil dengan buah  dikatakan penyembuh mujarab bagi tekanan darah tinggi dan kolesterol.

“Kita akan menghantar hasil lebihan ladang ke Fakulti Sains Makanan danTeknologi untuk membolehkan mereka menimbang bagaimana ia boleh dipasarkan atau dihantar ke L’apprenti Restaurant mereka untuk pelajar-pelajar mencuba juadah baru,” katanya.



Prof Wahid berkata jabatan beliau adalah sebuah sektor perkhidmatan dan terpulanglah kepada pelbagai fakulti, institiut dan pusat UPM untuk menentukan apa, dan bagaimana mereka mahu menggunakan ladang berkenaan.

“Peranan kita adalah memberi khidmat kepada mereka, daripada mendapatkan bahan mentah kepada penanaman, sehingga kepada tahap pra-pengkomersialan,” beliau menambah.

Seorang kakitangan yang telah melaksanakan tugas ini lebih 30 tahun dan tidak mungkin mahu bertukar kerja adalah Hj Abdul Ghani Hashim, ketua bahagian TPU.

Beliau menjelaskan ladang itu kini memberi khidmat kepada 13 institut dan fakulti yang semuanya mempunyai sejumlah 26 kursus.

Dengan purata 80 pelajar satu kursus, ada kira-kira 2,800 pelajar yang akan menggunakan ladang itu sebagai tapak ujian untuk kajian dan kerja-kerja penyelidikan.

Bergantung kepada bidang kajian, ada jentera untuk membajak tapak, 76 hektar untuk tapak semaian, hortikultur dan florikultur bagi mereka yaang gemar kepada bunga dan pokok hiasan; 54 hektar untuk kelapa sawit; 3.5 hektar kawasan teduh untuk penternakan ayam itik dan 100 hektar untuk sayur-sayuran, kambing, rusa, kuda atau perladangan kuda.

“Kebun sayur-sayuran kami diakreditasikan oleh Jabatan Pertanian kerana mengamalkan amalan-amalan berkebun terbaik,” kata Ghani.

Sebagai kerja sehariannya, beliau dan lebih 200 kakitangannya perlu memenuhi keperluan pensyarah dan pelajar untuk sebarang kerja yang mereka mahu lakukan di ladang berkenaan, termasuk lagi 160 hektar tanah ladang dekat Puchong.



Mereka juga harus menjaga semua pokok dan menyelenggara kehijauan di kampus.

 

“Sudah tentulah, kami menyumberan luar sesetengah daripada kerja penyelenggaraan seperti memotong rumput tetapi kami perlu menjaga semua pokok dalam pasu, pokok dan kehijauan di sekitar fakulti dan institut di sini,” katanya.

Memandu di sekeliling ladang dengan lembah, longkang, kolam dan tasik adalah satu pengalaman menyegarkan memandangkan ia hanya kira-kira 20 minit dari Kuala Lumpur.

Ladang itu sungguh luas memandangkan ia berada di dalam lingkungan kampus utama UPM berukuran lagi 1,047 hektar. Tambahan lagi, ada 1,345 hektar hutan simpan dekat  Air Hitam.

Kepada Ghani dan kakitangannya, arahan terbaharu untuk menggerakkan “ladang” menjana pendapatan semestinya seperti satu pemangkin untuk mempermuda tanah dan kehijauan di sekeliling mereka.

Mereka telah menjual hasil tanaman mereka di sebuah pejabat jualan dalam kampus dan orang yang tahu akan datang membeli buah-buahan segar, sayur-sayuran dan daging seperti ayam dan burung puyuh, selain baja kompos, sirap buah-buahan dan anak pokok buah-buahan.

Tetapi ini tidak mencukupi untuk mereka. “Kami mahu membaiki imej universiti ini dengan mempamerkan amalan perladangan terbaik tetapi kami perlukan sokongan kewangan daripada pihak lembaga,” kata beliau.

Beliau berkata TPU akan memberikan setiap sokongan diperlukan oleh Fakulti Pertanian sedang ia melancarkan kempenya menggalakkan penduduk bandar bercucuk tanam di kediaman masing-masing. – upm.

Untuk pertanyaan, harap hubungi;

Prof. Dr Abd. Wahid Haron

Telefon: +603 8946 73901

Email: wahid@vet.upm.edu.my

Kgo/agn


WXDdAA7~