| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM terima geran berprestij untuk kaji penyakit otak guna sel stem pesakit

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG: Penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Michael Ling King Hwa menerima dua anugerah antarabangsa berprestij – International Brain Research Organisation (IBRO) Return Home Felllowship 2021, dan International Society for Neurochemistry Return Home Grant Award 2021 – penyelidik pertama dari negara ini yang menerima kedua-dua anugerah itu secara serentak.

Anugerah itu diberikan bersama geran peruntukan, kepada mereka yang terpilih selepas melalui latihan pasca doktoral dari negara maju dan pulang ke negara asal untuk menjalankan kajian dan penyelidikan.                            

Beliau menjalani latihan pasca doktoral di Harvard Medical School, Harvard University, Amerika Syarikat dari 2016 hingga 2018, dan dipinjamkan dari 2018 hingga 2020, yang melayakkannya memohon fellowship dan geran itu, dengan sokongan UPM, sekembalinya beliau ke Malaysia awal tahun ini.

International Brain Research Organisation (IBRO) Return Home Felllowship memperuntukkan geran sebanyak EUR20,000 (kira-kira RM95,000), manakala International Society for Neurochemistry Return Home Grant Award sebanyak AS$10,000 (kira-kira RM41,600).

Prof. Madya Dr Michael Ling yang juga pensyarah di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM akan menjalankan penyelidikan preliminari berkaitan penyakit otak.

Beliau akan menjalankan penyelidikan organoid otak (brain organoids) berkaitan penyakit Syndrom Down, dengan menggunakan organoid serebrum (cerebral organoids).

Beliau berkata, penyelidikannya membabitkan pertumbuhan organ di luar badan, menggunakan sel stem pesakit.

“Sel stem pesakit diambil dan ditumbuhkan menjadi organoid,” katanya.

Katanya, penggunaan sel stem pesakit akan menghasilkan pemerhatian mekanisme penyakit yang lebih tepat berbanding penggunaan model haiwan di dalam penyelidikan.

Katanya, penyelidikan melalui model sistem organoid itu akan membolehkan kejadian dan proses penyakit diketahui kerana ia menggunakan sel daripada pesakit sendiri, seterusnya boleh dibuat perbandingan dengan orang yang sihat.

“Justeru, kita boleh mencari mekanisme penyakit untuk tujuan rawatan seperti membangunkan kaedah rawatan dan ubat yang berkaitan.

“Model sistem organoid ini membolehkan kita belajar mengenai penyakit secara menyeluruh, ia umpama ‘jig zaw puzzle’ (susun suai gambar) di mana kita boleh bina organoid untuk organ berlainan seperti otak, saraf tunjang, dan otot.

“Ketiga-tiganya boleh digabungkan sebagai organoid sistemik dan kita boleh belajar kesan penyakit secara keseluruhan dan bukannya berpandukan kepada sesebuah organ atau sekelompok sel yang tertentu sahaja. Inilah arah tuju pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, selama ini banyak penyelidikan menggunakan model haiwan hidup iaitu tikus, tetapi oleh kerana ia bukan manusia, maka pemerhatian daripada model haiwan tidak boleh diterjemah terus kepada manusia.

“Sekarang kita mengkaji organoid yang ditumbuhkan daripada sel stem manusia, jadi ia relevan kepada biologi manusia dan lebih tepat. Untuk masa depan, ia boleh menggantikan penggunaan model-model haiwan dalam penyelidikan,” katanya.

Selain Syndrom Down, katanya, penyakit berkaitan otak yang dapat dikaji melalui organoid otak turut merangkumi nyanyuk, dementia, skizofrenia, halusinasi, kecelaruan bipolar (bipolar disorder) dan kemurungan.

“Syndrom Down membawa kecacatan intelektual. Jadi, untuk mengetahui proses perkembangan otak kita guna sistem organoid untuk mengetahui apa yang menjuruskan kepada kecacatan intelektual itu,” katanya.

Beliau berharap kerajaan akan memberi bantuan kewangan untuk bidang penyelidikan itu agar lebih ramai penyelidik menerokai bidang berkenaan sejajar dengan perkembangan teknologi untuk kita setanding dengan negara maju. - UPM

WXFTVAt~