Penyelidik UPM Buat Pembentangan Pada Forum Fakulti UC Di Filipina | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Penyelidik UPM buat pembentangan pada Forum Fakulti UC di Filipina

Penyelidik UPM buat pembentangan pada Forum Fakulti UC di Filipina

Oleh: Dr. Siti Fatimah Mohamad

 

FILIPINA, 24 Julai – Seramai 66 ahli fakulti dari lapan universiti “Southeast Asian University Consortium for Graduate Education in Agriculture and Natural Resources (UC)”  berkumpul di ibu pejabat SEARCA bagi Forum Fakulti UC yang pertama, di sini.

Penyelidik dari lapan universiti yang terdiri daripada Institut Pertanian Bogor, Universitas Gadjah Mada, Universiti Putra Malaysia (UPM), University of the Philippines Los Baños, Kasetsart University, Tokyo University of Agriculture, National Taiwan University dan Universitas Brawijaya Indonesia berkumpul dan bertukar idea penyelidikan serta mengembangkan strategi perkongsian untuk kerjasama akan datang.

Forum dihoskan bersama oleh SEARCA dan University of the Philippines Los Baños.

Persidangan itu yang bertemakan ‘Menghadapi Cabaran Revolusi Perindustrian Keempat’, mengemukakan empat penceramah pleno manakala 43 kertas kerja dibentangkan dalam sesi selari di bawah empat sub-tema.

Penyelidik dari UPM yang membuat pembentangan adalah Dr. Juwaidah Sharifuddin (Fakulti Pertanian), Dr. Siti Izera Ismail (Fakulti Pertanian), Dr. Ahmad Suhaizi Mat Su (Fakulti Pertanian), Dr. Muhammad Heikal Ismail (Fakulti Kejuruteraan), Dr. Siti Fatimah Mohamad (Fakulti Sains dan Teknologi Makanan) dan Dr. Noris Mohd. Norowi (Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat).

Dr. Juwaidah dan Dr. Muhammad Heikal dijemput bagi sesi meja bulat yang membincangkan bidang kerjasama strategik penting di kalangan anggota UC.

Antara cadangan yang diutarakan adalah lawatan silang, penyeliaan penyelidikan, penyelidikan bersama, penyelidikan mengenai topik yang melangkau sempadan seperti kajian yang melibatkan Sungai Mekong atau Laut China Selatan, serta lanjutan projek UC semasa iaitu Sarjana Sains dalam Keselamatan Makanan dan Perubahan Iklim (MSFSCC) kepada program Doktor Sains dalam Program Keselamatan Makanan dan Perubahan Iklim (DSFSCC). – UPM

 

Tarikh Input: 02/08/2019 | Kemaskini: 05/08/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566075696