| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM bangunkan Modul Komunikasi Risiko dan Krisis bagi IPT

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain


SERDANG - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan Modul Komunikasi Risiko dan Krisis bagi institusi pendidikan tinggi (IPT) termasuk universiti awam, institusi Pendidikan tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Modul ini akan dilancarkan esok oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB. Datuk Seri Noraini Ahmad secara dalam talian bersekali dengan webinar “Risk and Crisis communication to protect public health and institutional resilience”.

Modul yang pertama seumpamanya ini telah dibangunkan berdasarkan hasil dapatan kajian daripada geran penyelidikan yang bertajuk Komunikasi Risiko Untuk Kesihatan Awam, di bawah pembiayaan Malaysia One Health University Network (MyOHUN) COVID-19 Supplementary Fund. Ia juga projek penyelidikan yang disokong oleh United States Agency for International Development (USAID) One Health Workforce Next Generation (OHW-NG) project.

Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, modul ini sememangnya bertepatan dengan keperluan semasa apabila pembukaan kampus akan dilakukan pada bulan depan. Impak penularan pandemik COVID-19 telah mengubah cara IPT berfikir dan perlu melakukan reset dalam pentadbiran juga pengurusan.



Aspek pengurusan seperti komunikasi risiko dan komunikasi krisis perlu ditangani oleh pihak IPT sebaik-baiknya agar ketahanan institusi dapat dilestarikan.

Tambah beliau, modul ini juga mendukung konsep Menara Ilmu yang menjadi pegangan universiti dalam menggalakkan proses pemindahan ilmu dan kepakaran.

“Bermula dengan satu kajian penyelidikan, ia dipakejkan pula sebagai modul yang dapat digunakan untuk manfaat dan kepentingan awam. Inilah sumbangan unggul para penyelidik demi kebaikan kita bersama,” jelasnya lagi.

Modul ini memberi panduan kepada institusi, terutamanya IPT, berkaitan amalan terbaik dan strategi yang merangkumi penilaian risiko, tadbir urus dan struktur, latihan dan peningkatan kemahiran, pelan komunikasi krisis, keperluan komunikasi sepanjang peringkat kesediaan, tindak balas dan pemulihan, dan penerapan prinsip-prinsip utama untuk komunikasi risiko yang berkesan.

Pembangunan modul ini dijayakan oleh kumpulan penyelidik UPM yang diketuai oleh Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman dan ahli, iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Prof. Ir. Dr. Ts. Mohamed Thariq Hameed Sultan dan Prof. Madya Dr. Mohd Rafee Baharudin. - UPM

WXEaAAL~