| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPM wakil pertama Malaysia dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG – Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Dr. Kulanthayan KC Mani wakil pertama Malaysia dan Asia dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance iaitu badan bukan kerajaan (NGO) bagi keselamatan jalan raya yang baharu untuk tempoh dua tahun (2022 – 2024).

Pertubuhan Global Alliance ditubuhkan pada tahun 2011 di bawah naungan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada masa tersebut dan sekarang ia adalah sebuah organisasi yang berdiri sendiri dan didaftarkan di bawah undang-undang sivil Swiss dan berpusat di Zurich, Switzerland. 

Prof. Dr. Kulanthayan merupakan Ahli Lembaga Pengarah sejak 2019 dan mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (Kejuruteraan Pengangkutan) dari UPM pada tahun 2002 serta Diploma Keselamatan Trafik dari Lund University, Sweden pada tahun 2007. Beliau merupakan pemenang Anugerah Prince Michael International Road Safety Award pada tahun 2017.

Di peringkat nasional, beliau merupakan ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) sejak tahun 2013 serta Ahli Bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak 2020.

Beliau adalah anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan juga merupakan Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia.

Selain itu, Global Alliance ditubuhkan sebagai reaksi permintaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) global untuk mendapatkan ruang untuk membolehkan sesi perkongsian ilmu serta advokasi bidang keselamatan jalan raya dan hak mangsa kemalangan jalan raya. - UPM

SXEZSAm~