Pensyarah UPM Menang Anugerah Karya Ilmiah 2014 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pensyarah UPM menang Anugerah Karya Ilmiah 2014

Pensyarah UPM menang Anugerah Karya Ilmiah 2014

Oleh Wan Nor Suriani binti Jalal



PUTRAJAYA, 15 Okt - Pensyarah Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail memenangi Anugerah Karya Ilmiah 2014 (kategori bahagian sains dan teknologi) atas penerbitan buku Mantik dan Etnomantik yang dipilih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Profesor Negara (MPN) 2014 sebagai buku terbaik.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Prof Madya Dr Mat Rofa yang merupakan pensyarah di Jabatan Matematik memenangi Sijil Anugerah dan cek bernilai RM 20,000.

Buku beliau yang diterbitkan oleh DBP itu adalah berkaitan pemikiran mantik dalam sains dan teknologi, matematik, falsafah, kalam dan algoritma.

Pemenang dipilih menerusi buku yang dihantar oleh seluruh penerbit di Malaysia kepada urusetia Majlis Buku Ilmiah, DBP serta merupakan hadiah tertinggi negara dalam penulisan ilmiah berbahasa Melayu.

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan itu dianjurkan oleh DBP dan Kementerian Pelajaran pada setiap tahun. Sambutan pada tahun ini telah bermula pada bulan lepas dan akan berakhir pada bulan November.

Salah satu objektif kempen ini adalah untuk mengukuh dan menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu kerana ia akan membantu untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penasihat Sosial dan Kebudayaan Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka, Datuk Dr Awang Sariyan, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zabidi Zainal dan Pengarah Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat.

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566430217