| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah Politeknik terima Pingat Emas PhD UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Sabri Omar
 
 
SERDANG, 26 Nov- Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politenik Banting, Dr. Tamil Moli A/P Loganathan menerima anugerah Pingat Emas Doktor Falsafah (PhD) Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals dalam Majlis Konvokesyen UPM ke-46 di sini, hari ini.
 
Ibu kepada tiga anak ini berkata kejayaan yang diterimanya merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangkakan.
 
"Sudah semestinya saya berasa sangat gembira dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyelia utama saya Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan yang tidak pernah putus memberi sokongan dan tunjuk ajar yang jitu.
 
"Sekiranya perancangan anda baik tiada yang mustahil akan dapat dicapai. Perancangan merupakan kunci utama kejayaan dan anda boleh mengubah atau menambah baik perancangan tersebut sekiranya tidak berjalan dengan baik," katanya.
 
Tambahnya lagi, seawal menyambung pengajian di UPM persekitaran di sini membantunya untuk menamatkan pengajian tepat pada masanya iaitu selama tujuh semester.
 
"UPM juga memiliki kemudahan untuk membuat penyelidikan kejuruteraan bahan yang sangat canggih dan saya tidak perlu keluar untuk membuat kajian. Saya akui sudah jatuh cinta dengan fasiliti UPM terutamanya di Fakulti Kejuruteraan," katanya.
 
Sepanjang pengajiannya, beliau telah menghasilkan 10 artikel penyelidikan berkaitan bidang pengajian beliau. -UPM

SXDcQAZ~