Pendidik Terbaik Bentuk Graduan Cemerlang –Tan Sri Dr. Arshad Ayub | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pendidik terbaik bentuk graduan cemerlang –Tan Sri Dr. Arshad Ayub

Pendidik terbaik bentuk graduan cemerlang –Tan Sri Dr. Arshad Ayub


SERDANG – Pendidik memainkan peranan penting untuk membentuk graduan cemerlang kerana pelajar yang cerdik akademik belum tentu berupaya untuk menjadi cemerlang.

Ahli Lembaga Yayasan Pak Rashid (YPR), Tan Sri Datuk Dr. Arshad berkata pendidik perlu meningkatkan kualiti pelajar melalui minat mereka disusuli dengan membina motivasi berterusan.

“Pengalaman saya mentranformasikan Institut Teknologi Mara dahulu, pengambilan pelajar dengan syarat minimum mampu mengubah mereka menjadi pelajar cemerlang dan mengharumkan nama universiti,” katanya pada majlis syarahan awam YPR.



Syarahan yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pendidik dalam mendidik anak bangsa bagi mencapai matlamat negara itu dianjurkan oleh Yayasan Pak Rashid dan Pusat Alumni UPM.  Syarahan awam itu juga memperingati jasa Allahyarham Dr. Mohd Rashid kepada pembangunan Kolej Pertanian dan Universiti Putra Malaysia.

Turut hadir menyaksikan syarahan itu ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Tai Shzee Yew, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan, 338 alumni UPM, organisasi luar dan warga UPM.



Tan Sri Arshad berkata bagi mencapai kecemerlangan universiti, pensyarah mesti memberi ilmu terkini, menambah pengetahuan dalam bidang yang diceburi dan aktif memberi tindak balas kepada pelajar.

Selain itu beliau turut menyeru supaya universiti mewujudkan jaringan industri untuk persaingan yang sihat.

“Universiti cemerlang ialah universiti yang sentiasa mengambil peluang meluaskan jaringan industri dan berkolaborasi dengan pelbagai syarikat luar untuk meningkatkan produktiviti universiti, samada membuat penyelidikan ataupun menghantar pelajar praktikal,” katanya.

Berita ini disediakan oleh Pejabat pemasaran dan Komunikasi (MarComm) Syifarida Muhamad Zaki 03-89468985 / Foto oleh Marina Ismail 03-8946 6199


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566317620