| Universiti Putra Malaysia

Pemenang Anugerah Merdeka dari UPM berazam beri sumbangan kepada masyarakat

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Marina Awang



SERDANG, 4 Julai (UPM) – Terharu tetapi tetap gembira dan berasa bertuah – begitulah perasaan dua saintis muda Universiti Putra Malaysia (UPM) yang julung-julung kali menerima Geran Anugerah Merdeka untuk Khidmat Kerjaya Antarabangsa.

Mereka berdua berazam akan berusaha dan mencapai prestasi terbaik untuk seterusnya mencurahkan bakti kepada masyarakat.

Profesor Madya Dr Abhimanyu Veerakumarasivam, 34, dan Dr Natrah Fatin Mohd Ikhsan, 33, dipilih oleh Lembaga Pengamanah Anugerah Merdeka daripada satu senarai 60 calon untuk menerima geran jangka pendek bagi rakyat Malaysia yang berkelayakan berusia di antara 22 dan 35 tahun untuk melibatkan diri dalam projek kolaboratif atau program di institusi terkemuka antarabangsa.

Anugerah itu disampaikan kepada dua saintis muda terkemuka itu oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, yang juga pengerusi lembaga itu di satu majlis pada 28 Jun 2013.

“Geran ini mewujudkan peluang kepada penerima untuk menjalin pertalian dan hubungan kerja dengan pakar-pakar lain dalam bidang yang sama, berkongsi pengetahuan dan kepakaran dan apabila pulang kelak, menggunakan perhubungan dan pengetahuan dikongsi itu untuk mengukuhkan bidang kerja atau penyelidikan mereka,” kata satu kenyataan dikeluarkan oleh Anugerah Merdeka.



Anugerah Merdeka itu diwujudkan oleh PETRONAS, ExxonMobil dan Shell pada 2007 untuk mengiktiraf dan sebagai  ganjaran kepada rakyat Malaysia dan bukan Malaysia yang telah memberi sumbangan terserlah kepada penduduk dan negara.

Dr Abhimanyu, yang dipinjamkan ke Pusat Pengajian Perubatan Siswazah Universiti  Perdana (PU-GSM) dari UPM, berkata beliau menganggap anugerah itu sebagai sesuatu yang istimewa kerana ia seperti satu pengiktirafan bagi beliau dan  merangsangnya agar berusaha lebih gigih demi memberi impak kepada masyarakat dan negara.

“Saya tidak mengejar KPI (Indeks Prestasi Utama) tetapi ingin benar-benar memastikan kerja dan keghairahan untuk penyelidikan dan pengajaran dapat membantu masyarakat,”  kata pakar genetik kelahiran Kuantan ini yang belajar di SMK Sultan Abu Bakar sebelum ke UPM dan lulus ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam Sains Bioperubatan.



Pemenang Pingat Emas Tunku Abdul Rahman dan Anugerah Pelajaran Diraja di UPM, Dr Abhimanyu memperolehi biasiswa Kerajaan untuk mendapatkan PhD dalam Onkologi di Universiti Cambridge. Setelah itu beliau pulang untuk berkhidmat sebagai pensyarah kanan di UPM dan seterusnya dipinjamkan ke Universiti Perdana.

Beliau berkata di samping membuat penyelidikan untuk mencari ubat menyembuhkan kanser pundi kencing, beliau akan menggunakan geran berkenaan bagi menemui seramai mungkin pakar untuk menjalin perhubungan itu demi meningkatkan lagi tahap program pasca-siswazah.

“Kita tidak ada sejumlah besar saintis seperti negara-negara maju dalam usaha untuk merangka program pasca-siswazah kelas pertama,” kata beliau sambil menambah beliau ingin menggalakkan generasi muda agar memilih pengajian sains.

Tugas beliau sebagai pengarah Yayasan Saintifik Perubatan untuk program MD PU-GSM termasuklah merangka kurikulum kursus perubatan. “Kita tidak boleh melaksanakan 100 peratus program Johns-Hopkins kerana kita tidak mempunyai peralatan dan kemudahan seperti di universiti Amerika itu.”

PU-GSM adalah satu usahasama di antara PU dengan Johns Hopkins dan 90 peratus daripada tenaga pengajarnya adalah dari universiti berprestij itu.

Dr Abhimanyu yang berkahwin dengan seorang doktor yang mengikuti pengajian untuk menjadi doktor pediatrik di Universiti Malaya, berkata masa antara 10 hingga 15 tahun mungkin diperlukan bagi transformasi program pasca-siswazah di negara ini.

Oleh kerana itu, beliau dan rakan-rakan sealiran dalam Akademi Sains Malaysia telah menubuhkan satu Jaringan Saintis Muda untuk memilih dan mengrekrut ahli-ahli baru untuk jaringan dan perkongsian pengetahuan dan pengalaman melalui persidangan dan simposium.



Ditanya apa rancangan beliau selepas tempoh khidmat dengan PU-GSM tamat dalam masa lebih setahun ini, Dr Abhihamyu berkata beliau akan kembali ke pusat pengajian asal untuk mengajar dan meneruskan penyelidikannya.

“Dewasa ini saya masih mengajar di UPM di mana saya menyelia seorang calon PhD dan tiga calon Sarjana,” kata Dr Abhihamyu, anak lelaki tunggal seorang pesara kerajaan dan ibunya suri rumah. Kakak beliau juga seorang suri rumah.

Dr Natrah, seorang ekologis mikrobial dari Shah Alam, berkata anugerah itu memberi inspirasi kepada beliau untuk berusaha mencetuskan kecintaan kepada sains di kalangan generasi muda dan belia-belia pula menjadikan pertanian sebagai satu kerjaya.

Anak sulung enam beradik daripada satu keluarga peniaga, beliau belajar di Sekolah Agama Kuala Lumpur sebelum mengikuti matrikulasi di Kelantan dan meneruskan pengajian di UPM di mana beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Biologi dan Sarjana Sains dalam Bioteknologi Akuatik. Beliau memperoleh PhD dalam Sains Biologi Gunaan dari Makmal Akuakultur dan Pusat Rujukan Artemia, Universiti Ghent, Belgium, pada 2011.

Dr Natrah, yang bertugas sebagai seorang pensyarah kanan di Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, berminat meneruskan penyelidikan beliau berkaitan interaksi di antara alga dengan kuman dengan tumpuan kepada pencegahan dan kawalan penyakit dalam akuakultur.



Memandangkan hakikat bahawa akuakultur adalah satu industri bernilai berbilion ringgit yang sedang berkembang dan semakin penting sedang sumber marin berkurangan akibat terlalu banyak menangkap ikan, beliau merancang menggunakan geran berkenaan untuk melawat sebuah universiti luar negara yang berprestij untuk menjalankan penyelidikan berkaitan interaksi di antara mikro-organisma.

“Saya berharap untuk belajar kemahiran baru daripada pakar-pakar dan penyelidik lain dalam usaha menambah pengetahuan saya mengenai mikrobiologi  di samping  saya menjalin kolaborasi dan jaringan dengan mereka,” kata beliau.

Dr Natrah yang berkahwin dengan seorang calon PhD, berkata beliau akan berkongsi pengetahuan, idea dan pengalaman diceduk ketika pengajian itu dengan saintis seangkatan beliau, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam usaha untuk merangsang industri akuakultur di negara ini.

“Wujud kuman yang tentunya amat berbahaya kepada ikan atau akuakultur dan mikro-alga mungkin menjadi satu huraian kepada kuman-kuman itu.

“Oleh kerana itu, saya berminat dalam sinbiotik, probotik dn bioflok, yang terakhir itu adalah serumpun mikrob yang boleh digunakan sebagai bahan yang boleh juga menjaga mutu air,” beliau menambah. – UPM

-- kgo/kam


WXETQAN~