PELANTIKAN TIMBALAN NAIB CANSELOR (HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI) UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » PELANTIKAN TIMBALAN NAIB CANSELOR (HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI) UPM

PELANTIKAN TIMBALAN NAIB CANSELOR (HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI) UPM

Oleh Noor Eszereen juferi



Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran, 46 dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM untuk tempoh selama tiga (3) tahun berkuatkuasa mulai 15 Mac 2013 hingga 14 Mac 2016.

Beliau menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan yang dilantik sebagai Naib Canselor UPM pada 1 Januari 2013.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bota Kiri, Perak dan menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yaakub, Bota Kanan, Perak seterusnya di Sekolah Menengah Teknik Ipoh.

Beliau juga mempunyai kelulusan American Associate Degree, Indiana University of Bloomington, Bacelor dan Master of Science in Community and Regional Planning dari Iowa State University, Ames, Iowa serta PhD dari University of Missouri, Colombia.

Anak kelahiran Perak ini telah berkhidmat di UPM lebih 19 tahun sejak 1994 dengan memulakan karier sebagai Tutor di Jabatan Sains Sosial di Fakulti Ekologi Manusia, UPM dan dilantik sebagai Profesor Madya pada 2008 dan kemudiannya Profesor pada 2013.

Beliau menjawat jawatan Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia pada 1999 hingga 2004 sebelum dilantik sebagai Pensyarah Kanan pada 2004 hingga 2008.

Dalam tempoh itu, beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar pada 2006 hingga 2013.

Antara perkhidmatan konsultasi dan perundingan profesional beliau di peringkat antarabangsa ialah Tomorrow People Organization, Asian Productivity Organization (APO) dan Community Development Academy (CDA) sementara di peringkat nasional ialah bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia mengenai Pembangunan Manusia, Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dan National Drug Prevention Agency.

Sepanjang perkhidmatan di UPM, beliau sememangnya aktif dalam pengajaran dan penyelidikan dalam bidang Pembangunan Masyarakat. Antara pengiktirafan akademik yang tertinggi dikecapi beliau ialah menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) kategori Sastera dan Sains Sosial pada tahun 2010. Kesarjanaan beliau diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Portfolio yang akan dipegang oleh beliau adalah mengetuai dan bertanggungjawab dalam keseluruhan pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta pembangunan pelajar universiti yang merangkumi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Sukan, Pusat Alumni, Kolej, Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

Ahli pengurusan UPM menyifatkan perlantikan Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran akan dapat mendukung matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang berkualiti bagi kebolehpasaran serta memperkasakan pelajar UPM dengan penguasaan kemahiran insaniah dan business skills bagi meningkatkan kopetensi graduan.

Pengalaman Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran yang luas dalam bidang pembangunan masyarakat telah mempelbagaikan kepakaran beliau dalam bidang penduduk luar bandar, pembangunan soft skills, permasalahan sosial, modal insan, keibubapaan, remaja dan motivasi.   


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566350226