| Universiti Putra Malaysia

PELANTIKAN SEMULA DULI YANG MAHA MULIA (D.Y.M.M) SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ SEBAGAI CANSELOR UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SHAH ALAM, 2 Jun - Duli Yang Maha Mulia (D.Y.M.M) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj dilantik semula sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkuat kuasa mulai 1 April 2022 hingga 31 Mac 2029.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), YH. Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman telah mempersembahkan Watikah Lantikan Semula D.Y.M.M Sultan Selangor sebagai Canselor UPM oleh Yang DiPertuan Agong pada pertemuan bersama Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), UPM, YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Ahli Lembaga Universiti (LPU) UPM, YDM Engku Panglima Setia Diraja Dato’ Syed Haizam Jamalullail.

Sultan Sharafuddin yang mula dilantik sebagai canselor UPM sejak 2002 sehingga kini telah memberi banyak sumbangan bermakna kepada UPM khususnya dalam konteks peranan universiti menjuarai agenda pertanian, penyelidikan dan alumni.

Baginda juga berkenan merasmikan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah UPM atau Sultan Idris Shah Forestry Education Centre (SISFEC), di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong pada 2012 sebagai pusat rujukan pendidikan dan pengembangan amalan terbaik pengurusan hutan tropika di peringkat nasional mahupun global.

Kerajaan Negeri Selagor pada 1996 telah memberi kebenaran kepada UPM untuk mengurus dan membangunkan Hutan Simpan Ayer Hitam, seluas 1,176.1 hektar sebagai hutan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan untuk tempoh 80 tahun sehingga 2076.

Selain itu, pada 2014, Sultan Sharafuddin turut merasmikan UPM Kampus Bintulu, Sarawak (UPMKB). Sejarah penubuhan UPMKB bermula apabila kampus cawangan ini ditubuhkan di kampus sementara Semenggok, Sarawak pada bulan Jun 1974. Pada 10 Januari 1992, UPMKB ditutup bagi memberi laluan kepada penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pada Februari 2001 pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui surat Ketua Setiausaha KPM telah menyampaikan persetujuan Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia supaya UPM menggerakkan semula kampus cawangan UPM di Bintulu mula sesi akademik 2001/2002 dengan memberi tumpuan kepada bidang pengkhususan Pertanian dan Perhutanan.

Seterusnya, Tuanku Canselor juga sentiasa prihatin dengan hala tuju dan perancangan UPM seperti menyokong Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia (UPM) 2021-2025 yang telah dilancarkan pada Disember 2021.

Pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-44, Baginda telah menitahkan agar warga UPM termasuk para graduan yang bakal menjadi alumni untuk menyokong pelaksanaan pelan strategik itu kerana ia mampu memperkukuh UPM sebagai menara ilmu yang memacu kecemerlangan.

Di samping itu, melalui Titah Tuanku Canselor UPM bersempena dengan 50 tahun penubuhan UPM, Baginda melihat UPM telah meraih banyak pencapaian dan perkembangan yang sangat signifikan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat serta bersama-sama menerajui agenda pertanian dan sekuriti makanan di negara.

Dato' Naib Canselor berkata pelantikan Tuanku Canselor pastinya dapat memperkukuhkan UPM sebagai universiti yang unggul dan mencapai misi UPM iaitu memberi sumbangan bermakna kepada pembentukan kemakmuran dan pembangunan negara serta kesejahteraan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.

"Kebitaraan UPM dalam bidang Pertanian juga amat dititikberatkan oleh DYMM Tuanku Canselor agar UPM menakhoda pertanian dan menjadi Pusat Rujukan Pengembangan" katanya.

Dalam pertemuan tersebut, YH. Dato' Naib Canselor turut memaklumkan perkembangan terkini UPM dan acara-acara rasmi universiti akan datang. – UPM

WXEYHAo~