| Universiti Putra Malaysia

Pelan Strategik UPM 2021-2025 dilancar, jadi pemangkin aspirasi pendidikan tinggi negara

Oleh:  Azman Zakaria
Foto oleh: Sabri Omar & Saleha Haron


SERDANG, 3 Dis:  Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad melancarkan Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia (UPM) 2021-2025 hari ini, yang menurutnya juga sebagai pemangkin kepada hala tuju dan aspirasi sektor pendidikan tinggi negara.

Katanya, antara faktor kejayaan sektor pendidikan tinggi negara adalah tahap kesiapsiagaan dan perancangan strategik oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ke arah kecemerlangan.

Justeru, katanya, kementerian sentiasa menyokong usaha IPT khususnya universiti awam dalam merencana masa depan institusi masing-masing dengan perancangan yang tersusun melalui dasar atau polisi yang berasaskan pembuktian atau evidence-based policy.

“Sebagai salah sebuah universiti penyelidikan dan universiti bereputasi antarabangsa, Pelan Strategik UPM ini sangat penting sebagai dokumen yang dapat menentukan hala tuju kecemerlangan universiti untuk sekurang-kurangnya lima tahun mendatang,” katanya ketika melancarkan Pelan Strategik UPM 2021-2025, di sini. Majlis pelancaran itu bertemakan ‘Evolusi Keunggulan 50 Tahun UPM.’

Turut hadir Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot dan Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman.   

Lima matlamat Pelan Strategik itu ialah melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang, mewujudkan hab penyelidikan dan inovasi yang menjanakan nilai berteraskan ekosistem lestari, melestarikan ekosistem jaringan industri dan masyarakat, memperkasakan pertanian dan ketahanan sekuriti makanan, serta memperteguh tadbir urus institusi, kemampanan kewangan dan amalan kelestarian hijau.

Dato’ Dr. Ahmad Masrizal berkata, matlamat Pelan Strategik itu jelas akan mendukung UPM mencapai hasrat dan matlamat penubuhannya sebagai sebuah Menara Ilmu yang disegani.

Katanya, beliau menyokong usaha UPM melalui Pelan Strategik itu untuk terus mendaulat agenda pertanian, seiring dengan bidang tujahan dan kebitaraan UPM.

“Oleh itu, amat wajarlah hala tuju pertanian, khususnya pertanian berteknologi tinggi diangkat sebagai salah satu matlamat utama dalam Pelan Strategik UPM agar universiti dapat memainkan peranan yang lebih strategik bagi memacu dan memperkasakan pertanian dan ketahanan sekuriti makanan negara,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Strategik itu juga terus menyokong hasrat kementerian untuk memperkasa apsek pendigitalan, yang diterjemahkan melalui objektif melagang kampus pintar dan pendigitalan.

Katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh UPM seperti Smart Putra®Future Classroom, Smart Putra®VDI Lab, menjadi IPT pertama melaksanakan Digital ID melalui Putra®VID, kemudahan satu server satu pelajar yang dikenali sebagai Smart Putra®One Server, dan kemudahan Internet berkelajuan tinggi melalui inisiatif Smart Putra®Premium.

“Ini adalah satu anjakan besar yang memberi cabaran baharu kepada kita semua khususnya dalam konteks IPT. Kita perlu sentiasa cakna dan bersedia untuk melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing,” katanya.

Katanya, Pelan Strategik itu juga memberi fokus usaha untuk meningkatkan aspek kebolehpasaran graduan yang bukan sahaja memenuhi keperluan nasional tetapi juga berupaya meletakkan nama Malaysia di peta dunia dalam menyediakan insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Justeru, beliau mahu warga UPM menghayati dan melaksanakan pelan strategik ini dalam semangat kekeluargaan dan kekitaan yang tinggi.

Pada majlis itu, Dato’ Dr. Ahmad Masrizal dan Prof. Dr. Mohd Roslan masing-masing turut menerima frame mengandungi halaman tengah (centre page) akhbar ‘Tribun Putra’ edisi khas Sambutan 50 Tahun UPM (1971-2021) yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman. – UPM

SXDdEAb~