| Universiti Putra Malaysia

Pelan Strategik UPM 2021-2025 berpandukan tujuh dokumen penting

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG: Pelan Strategik UPM 2021-2025 dibentuk dengan merujuk tujuh dokumen penting yang mempunyai perkaitan dengan institusi pengajian tinggi serta perkara yang dapat disumbangkan oleh UPM dalam mencapai matlamat dan hala tuju negara dan dunia.

Dokumen itu adalah matlamat Sustainable Development Goals (SDGs) yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Dasar Agromakanan Negara dan Dasar Komoditi Makanan, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Penarafan Antarabangsa, dan Naratif Naib Canselor.

Pengarah, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman berkata, proses penyediaan draf dokumen Pelan Strategik itu bermula dengan analisis pencapaian Pelan Strategik UPM 2014-2020, semakan visi, misi, matlamat, objektif strategik dan sasaran sedia ada, serta senario pengajian tinggi semasa dan masa hadapan.

“Kita membuat analisis kekuatan dan pencapaian UPM dan mengkaji semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lalu, dan melihat perkara-perkara penting seperti teknologi dan tuntutan luar untuk terus berdaya saing dengan mengambilkira situasi norma baharu, serta inklusiviti dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, lima matlamat Pelan Strategik UPM 2021-2025 itu dibina dengan melihat kepada semua indikator berkenaan, serta penglibatan sama UPM dalam usaha global pembangunan mampan seiring matlamat SDGs.

Prof. Dr. Azmawani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pelan Strategik UPM 2021-2025 berkata, matlamat itu juga seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diperkenalkan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang terus membangun secara mampan.

Katanya, pembentukan Pelan Strategik UPM 2021-2025 turut merujuk kepada RMK-12 yang memperkenalkan tiga tema iaitu menjana semula ekonomi; memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti; dan melonjakkan kemampanan.

Seiring dengan kebitaraan UPM dalam bidang pertanian, Pelan Strategik itu turut merujuk kepada Dasar Agromakanan Negara dan Dasar Komoditi Makanan, dengan penumpuan kepada transformasi pertanian melibatkan penggunaan teknologi tinggi.

Ia juga merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), Penarafan Antarabangsa dan Naratif Naib Canselor.

“Setiap matlamat mempunyai sasaran, dan diperincikan untuk sasaran lima tahun akan datang,” katanya. – UPM

WXEYKAY~