Pelajar UPM Terpilih Pemenang Anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik MICPA 2013 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM terpilih pemenang Anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik MICPA 2013

Pelajar UPM terpilih pemenang Anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik MICPA 2013

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Marina Ismail


Pelajar jurusan perakaunan, Shazrin Eqwal Sulaiman mengharumkan nama UPM apabila dipilih sebagai pemenang Anugerah Cemerlang Pelajar Perakaunan Terbaik 2013 oleh MICPA


SERDANG, 18 Ogos  (UPM) –  Pelajar jurusan perakaunan Shazrin Eqwal Sulaiman mengharumkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila dipilih sebagai pemenang Anugerah Cemerlang Pelajar Perakaunan Terbaik 2013 oleh Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

Pada Januari tahun ini, Shazrin, yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kelas Dua Atas) tahun lepas, memenangi Anugerah Dato’ Zakri Afandi Ismail kerana pencapaian cemerlang dalam bidang akademik daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Shazrin, 24, yang kini menyandang jawatan penasihat takaful  dengan Prudential, berkata beliau gembira memenangi anugerah daripada badan professional itu kerana ia meliputi semua aspek bidang perakaunan.

Pelajar cemerlang ini berkata beliau berterima kasih kepada semua pensyarah di fakulti berkenaan atas pencapaiannya itu.

“Semua mereka amat baik hati dan banyak membantu saya. Kalau nak sebut, saya kena senaraikan semua nama mereka,” katanya.



Mengimbau kembali sejarah pembelajarannya, Shazrin berkata pada mulanya, beliau mengambil jurusan sains ketika menuntut di SMK Khai Mun Bentong, tempat dia dilahirkan dan dibesarkan, dan hanya mengambil keputusan untuk memilih jurusan perakaunan pada Februari 2007 bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Shazrin berkata apabila  memilih Perdagangan dan Perakaunan sebagai subjek tambahan untuk SPM, beliau perlu belajar sendiri mata pelajaran itu.

“Alhamdudilah, saya  dapat 7A1 dalam SPM, termasuk Perakaunan, Perdagangan, Sejarah dan Pengajian Islam,” katanya.

Anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini juga menceritakan pahit getir yang dialami apabila bapanya, anggota polis di Balai Polis Bentong, meninggal dunia semasa beliau masih di bangku darjah enam. Ibunya, atenden di Hospital Bentong, terpaksa menanggung beban untuk membesarkan anak-anaknya.

Kecuali adik bongsu yang kini menunggu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, kesemua kakak dan abang Shazrin sudah bekerja dan sesetengahnya, sudah berumah tangga.

Shazrin berkata setelah menuntut selama empat tahun di UPM dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mendapat panggilan daripada jabatan itu untuk bekerja, beliau memohon penangguhan kerana ingin menyiapkan pengajian peringkat Sarjana Ekonomi. Kini, beliau berada dalam semester akhir program itu yang memakan masa satu setengah tahun.

Kata pelajar ini, pada mulanya beliau meminati kerjaya sebagai tenaga akademik, tetapi setelah berkhidmat dengan Prudential dalam memberi nasihat kepada klien tentang insurans Islam atau takaful, beliau tertarik pula dengan bidang perundingan.

“Saya akan tunggu dan lihat apa yang JPA hendak saya lakukan, sebelum membuat keputusan. Saya terikat dengan JPA,” katanya.

Anugerah itu, yang diberi MICPA kepada pelajar universiti awam dan swasta sejak 1993, bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada siswazah muda yang mencapai kecemerlangan menyeluruh dalam memburu kelayakan sebagai akauntan.

Ia memberi anugerah itu kepada 10 pelajar pada 2012 dan 12 pelajar pada 2011. – upm/kgo/sp

* Rencana ini telah diterjemahkan oleh Encik Shamsudin Puteh.


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569093833