Pelajar UPM Terima Dua Anugerah Di Program MIT GSL Malaysia 2015 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM Terima Dua Anugerah di Program MIT GSL Malaysia 2015

Pelajar UPM Terima Dua Anugerah di Program MIT GSL Malaysia 2015

Oleh Dr. Hizmawati Madzin



CYBERJAYA - Pelajar Bacelor Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi dua anugerah di program ‘MIT Global Startup Lab’  (MIT GSL Malaysia) 2015, baru-baru ini.

Kumpulan pelajar itu, Anas Hasbullah, Daeng Bukhari, Abdul Ammar Rusydi dan Mohd Sharafat Shah memenangi ‘Audience Choice Award’ (RM1,500) dan ‘Best Project Award’ (RM3,000) untuk membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM4,500.

Ketua kumpulan, Mohd Sharafat Shah yang juga pelajar tahun akhir FSKTM berkata projek tersebut adalah inovasi bagi ‘Queue Management System’ iaitu ‘Qtime’ yang diubah menjadi satu sistem berasaskan web dan aplikasi mobile.


Kumpulan ‘Qtime’ daripada FSKTM,  UPM merangkul dua anugerah bagi program MIT GSL 2015


“Objektif utama kami adalah untuk mengurangkan masa menunggu pelanggan. Pelanggan akan mendapat pesanan ke telefon pintar mereka apabila giliran mereka semakin hampir.

“Qtime adalah aplikasi mobile yang memberikan fungsi pengurusan sistem menunggu (QMS). Sistem ini akan memberi anggaran masa menunggu bagi pelanggan bermula dari masa mereka mengambil tiket sehingga masa dipanggil ke kaunter,” katanya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Multimedia, FSKTM, Dr. Hizmawati Madzin berkata program itu dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang keusahawanan, inovasi dan teknologi melalui inovasi serta kreativiti dalam membina teknologi relevan masa kini.

“Diharapkan program seperti ini akan mendapat penglibatan pelajar UPM dan melahirkan usahawan young technopreneur melalui kursus aplikasi mobile dan teknologi internet yang diperlukan di masa akan datang,” katanya.

Program kolaborasi antara Massachusetts Institute of Technology (MIT) Global Startup Lab, Amerika Syarikat, Kementerian Pendidikan Malaysia. dan Talent Division, Multimedia Development Corporation (MDeC) itu diadakan selama tujuh minggu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 29 Jun hingga 14 Ogos lalu. - UPM

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568812788