| Universiti Putra Malaysia

PELAJAR UPM TERIMA ANUGERAH PERDANA BELIA NEGARA 2014

Oleh Noor Eszereen Juferi



PUTRAJAYA (UPM)– Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Jufitri Joha terima Anugerah Perdana Belia Negara 2014 bagi Kategori Lelaki sempena Majlis Konvensyen Belia Kebangsaan yang berlangsung baru-baru ini.

Jufitri yang  merupakan pelajar tahun pertama jurusan Doktor Falsafah Pengajian Belia di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) menerima wang tunai sebanyak RM20,000.00 berserta sijil penghargaan dan piala iringan daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, di Pusat konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 15 April 2014.

Jufitri berkata penerimaan penganugerahan itu tidak dijangka kerana beliau perlu bersaing dengan 14 calon yang mempunyai portfolio yang hebat dengan sumbangan masing-masing



“Dengan anugerah ini ianya pencetus semangat untuk saya untuk terus menyumbang dalam pembangunan belia di Malaysia dan berhasrat untuk menganjurkan roadshow berkongsi tips kejayaan kepada belia di seluruh Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, belia pada masa kini perlu cekal serta menekuni ilmu dan memberi contoh yang baik kepada masyarakat dalam memberi inspirasi dan contoh yang positif.

“Harapan saya agar lebih ramai lagi generasi muda akan tampil sebagai ikon belia sejagat serta mempersiapkan diri dengan ilmu, kemahiran, kerohanian dan kepimpinan untuk menjadi agen perubah kepada masyarakat global,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Belia Negara telah mula diperkenalkan pada tahun 1988, kemudiannya pada tahun 2011 anugerah ini dikenali Anugerah Perdana Belia Negara bertujuan untuk memberi penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan terhadap pembangunan belia Malaysia dalam pelbagai bidang.

 – upm/nej/kgo


WXEVAAv~