| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM sertai pameran antarabangsa SDG guna aplikasi Instagram

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

SERDANG – Seramai 40 pelajar Tahun 3 Bacelor Sains Tanaman dan Rekreasi (BSTR), Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai pameran antarabangsa secara dalam talian menggunakan aplikasi Instagram baru-baru ini.

Pameran antarabangsa yang julung kali dianjurkan secara dalam talian itu disertai lima universiti termasuk Universitas Islam Riau dan Bina Nusantara Universiti, Indonesia; Hitra Leirskole, Norway dan persatuan belia Uzbekistan Youth Associations, Uzbekistan. Ia dianjurkan oleh Fakulti Perniagaan dan Pengurusan dan Fakulti Senilukis dan Senireka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Pameran boleh dilawati sehingga 31 Disember 2021 di akaun Instagram innovativeescape.

Pameran bertajuk Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Mampan, dan terdiri daripada 17 subtopik yang telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) pada 2015.

Pelajar BSTR menghantar 11 poster berkenaan subtopik SDG iaitu gaya hidup sihat, pembasmian kemiskinan, pendidikan berkualiti dan penggunaan dan pengeluaran secara bertanggung jawab.

Isu yang dipilih oleh pelajar BSTR menunjukkan bahawa mereka telah mengaplikasikan apa yang dipelajari sepanjang pengajian di UPM khususnya di Jabatan Taman Alam dan Rekreasi.

Secara keseluruhannya pelajar berjaya mengupas isu-isu berkaitan SDG dengan baik dan kreatif. Walaupun mereka bukan pelajar berlatar belakang teknologi maklumat (IT), namun cara penyampaian mereka setanding dengan penyertaan daripada universiti lain.

Mereka turut menyediakan video pendek berdurasi kurang daripada 3 minit berkaitan subtopik SDG yang dipilih. Penyertaan pelajar adalah secara berkumpulan tidak melebihi daripada lima orang atau secara individu.

Pameran dalam talian ini merupakan salah satu kaedah baharu di dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya sejak pandemik COVID-19 tahun lalu.

Sebelum ini pelajar banyak didedahkan dengan PdP menggunakan Zoom, Google Meet, Webex, Streamyard dan sebagainya. Namun kali ini Instagram digunakan untuk pameran secara dalam talian bagi hasil tugasan pelajar.

Pendekatan ini bukan sahaja lebih mudah dan murah untuk dianjurkan, malahan ia dapat dicapai oleh lebih ramai penggunjung daripada seluruh dunia yang mempunyai talian Internet. Tempoh pameran juga dapat dipanjangkan sehingga hujung tahun 2021 tanpa melibatkan sebarang peningkatan kos kepada pihak penganjur kerana kos penganjuran adalah murah.

Pendedahan kepada pelajar melalui pameran innovativeescape akan memberi manafaat kepada mereka sebagai ilmu sepanjang hayat. Ia merupakan satu latihan secara langsung kepada pelajar BSTR kerana satu daripada skop pekerjaan mereka setelah bergraduasi nanti adalah pengurusan acara.

Pengalaman daripada pameran secara dalam talian ini adalah yang pertama dilalui pelajar BSTR, dan ia adalah antara alternatif norma baharu yang diperkenalkan di dalam bidang pengurusan acara di seluruh dunia.

Lebih banyak peluang sebegini perlu diperkembangkan agar dapat disertai oleh pelajar di pelbagai peringkat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah. 

SXEUOAz~