| Universiti Putra Malaysia

PELAJAR UPM RAI KANAK-KANAK PALSI SEREBRUM, AUTISMA

Oleh Rukhsar-E-Rashim Mohammed Yusufirashim

 

BANGI, 24 Nov-  Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM)  menganjurkan majlis makan malam meraikan kanak-kanak palsi serebrum dan autisma, Grateful & Giving Gala Dinner  bagi mengutip dana untuk menampung pelaksanaan program Grateful & Giving pada masa akan datang.

Penasihat program Grateful & Giving, Dr. Wan Norhamidah Wan Ibrahim berkata program itu adalah pengisian Projek Terapi Pembelajaran Kanak-Kanak Cerebral Palsy: Ekspresi Dirimu yang mendapat suntikan dana daripada UPM di bawah geran UPM-KTGS JINM.

“Program ini mendapat sambutan yang baik daripada pihak penganjur serta keluarga kanak-kanak istimewa. Ia diharap akan diteruskan pada masa akan datang dengan aktiviti yang lebih menarik seperti muzik dan sukan,” katanya.

Beliau berkata, sokongan daripada pelbagai pihak adalah penting agar pelajar dapat meneruskan usaha membantu golongan istimewa ini.

“Program ini memberi impak yang besar dalam diri setiap pihak yang terlibat terutamanya pelajar UPM. Ia berjaya meningkatkan kemahiran insaniah dan semangat kesukarelawan serta memupuk keyakinan diri dan mengurangkan rasa inferioriti dalam diri kanak-kanak istimewa,” katanya.

Program itu yang bertemakan Celebrating Past, Present and Future dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman. Ia dianjurkan oleh pelajar Jabatan Biologi, Fakulti Sains UPM bagi melengkapkan komponen pembelajaran di luar bilik kuliah.

Program itu turut mendapat kerjasama pelajar Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP), Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), Mamalinda Bakers dan Persatuan Alumni UPM (PAPUM).

 

Sementara itu, Grateful & Giving Gala Night Dinner pula, bertujuan memberikan penghargaan kepada para penaja, kanak-kanak istimewa dan keluarga.

Majlis itu adalah kesinambungan program bersiri Grateful & Giving 2017 dan Grateful & Giving 2018: Chapter Besut yang dikhususkan untuk kanak-kanak istimewa seperti palsi serebrum dan autisma.

Modul dan pelaksanaan aktiviti seperti sains dan matematik, seni dan reka bentuk, multimedia dan bakeri juga dijalankan dalam program itu.

Program Grateful & Giving akan diluaskan untuk turut mensasarkan golongan kanak-kanak autisma di masa depan. - UPM

SXEYOA~