| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM menang anugerah foto terbaik di Asia-Pasific Forestry Week 2016


Oleh: Yasmin Yusoff

SERDANG
– Pelajar Master Sains dalam bidang Pengurusan Hutan dan Sains Ekosistem, Fakulti Perhutanan (FORR), Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Mustapha Mohamad Pazi memenangi anugerah foto terbaik pada Asia-Pacific Forest Week 2016 (APFW 2016).

Beliau memenangi tajaan mengikuti Program APFW 2016 pada 22-27 Februari lalu di Clark, Filipina, tiket penerbangan pergi-balik Kuala Lumpur-Filipina, penginapan dan makanan di sebuah hotel di Clark, plak, sijil dan cenderahati dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA).

Asia-Pacific Forest Week
2016 (APFW 2016) itu yang bertemakan ‘Growing our Future’ dianjurkan FOA.

Ahmad Mustapha, 30, berkata inspirasi fotografi beliau “Mangrove Temptation” mendapat 3,000 ‘likes’ dan komen di laman rasmi Facebook FOA. Ia berkenaan kelangsungan (survivability) paya bakau dalam ancaman kemusnahan ekosistem bakau yang berpunca dari kegiatan manusia.

“Idea ini saya peroleh ketika saya melakukan kerja-kerja penyelidikan di Hutan Paya Bakau, Kampung Awat-Awat Lawas, Sarawak. Di situ terdapat satu-satunya pokok bakau minyak yang tumbuh di kawasan berkenaan dan saya mengambil gambar pokok tersebut sebagai kenangan.

“Saya berharap dengan kemenangan saya ini akan menyuntik semangat rakan-rakan saya untuk menghargai alam semula jadi serta menyumbang bakti dalam usaha pemuliharaan hutan dan alam sekitar,” katanya.



Beliau yang berasal dari Kemunting, Perak telah menjadikan bidang fotografi sebagai hobi  dan medium untuk menyampaikan mesej kepada umum. Kebanyakan foto yang diambilnya adalah ketika beliau menjalankan tugasan penyelidikan dan rekreasi.

Sementara itu, FOA menerima 240 gambar dari 18 buah negara antaranya Thailand, Filipina, Australia dan Indonesia untuk pertandingan itu. Pemilihan dilakukan juri dari APFW 2016 berdasarkan undian awam ‘like’ di laman Facebook FOA.

FOA turut menggalakkan penyertaan yang meluas di kalangan pegawai kerajaan di sektor perhutanan, wakil-wakil pertubuhan antarabangsa, serantau dan semua agensi yang berkaitan dengan hutan di rantau ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan  swasta. - UPM

WXDdGA1~