| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM juara Pertandingan Pembangunan Produk Makanan Berasaskan Sawit

Oleh: Nazrul Rapail

SERDANG, 7 Februari – Produk ‘Chilli Garlic Margarine’ oleh pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjuarai Pertandingan Pembangunan Produk Makanan Berasaskan Sawit Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Produk itu dihasilkan kumpulan Totally Spice, daripada kalangan pelajar tahun akhir Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, FSTM, UPM. Mereka membawa pulang wang tunai RM1,500.

Selain itu, Kumpulan Susu Indon yang terdiri dari pelajar FSTM, UPM turut memenangi tempat keempat dengan pertandingkan produk Palm-based Almond Milk dan membawa pulang hadiah berjumlah RM600.

‘Chilli Garlic Margarine’ adalah terdiri daripada 80 peratus bahan produk kelapa sawit iaitu minyak kelapa sawit, minyak isi rong kelapa sawit dan minyak stearin kelapa sawit.

Ketua kumpulan, Afiefah Zulkifli berkata idea produk itu tercetus kerana mendapati majerin di pasaran kurang mempunyai perisa seperti mentega yang sedia ada di pasaran.

“Kami mengambil inspirasi daripada mentega yang berperisa bawang putih serta menambah cili di dalam produk ‘Chilli Garlic Margarine’ kerana didapati rakyat Malaysia menggemari makanan yang pedas.

“Kelebihan marjerin berasaskan kelapa sawit ialah ianya bebas daripada lemak trans, kolesterol dan lebih murah berbanding mentega serta produk ini adalah dalam bentuk pembungkusan individu yang boleh disimpan di suhu bilik,” katanya.

Tambah beliau, produk berasaskan kelapa sawit iaitu marjerin cili bawang putih ini mempunyai potensi yang besar untuk dipasarkan ke serata dunia.

Afiefah berkata, marjerin cili bawang putih ini adalah serba guna serta sesuai digunakan untuk sapuan, masakan dan membakar pastri.

“Kami mengambil masa seminggu dan menggunakan empat makmal yang berbeza untuk menghasilkan produk ini serta bahan kami bebas daripada pewarna tiruan dan semua bahan yang digunakan juga adalah berasaskan tumbuhan,” katanya.

Selain itu, penghasilan marjerin ini juga sisa sifar (zero waste) kerana cili dan bawang putih yang telah digunakan untuk pembuatan marjerin boleh menghasilkan dua lagi produk makanan iaitu chilli garlic flakes dan chilli garlic oil.  

Sementara itu, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Malaysian Palm Oil Council (MPOC) telah menganjurkan Pertandingan Pembangunan Produk Makanan Berasaskan Sawit dengan bertemakan “Inovasi Produk Makanan berasaskan Sawit” di bawah Program CEO Day@UKM untuk memberi peluang kepada pelajar menjana idea inovasi produk makanan baharu bagi mempromosikan penggunaan minyak sawit dalam industri makanan.

SXEYQA~