| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM jana pendapatan tertinggi dalam program Be$MART

Oleh: Nurainul Syifa Mohd ‘Azini

Foto: Marina Ismail

 

 

SERDANG, 25 Mei – Sembilan pelajar tahun akhir Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi RM300,000 Private Retirement Scheme Account dalam program Be$MART anjuran Yayasan CIMB.

Ia disampaikan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua kumpulan, Faizal Azri berkata kumpulannya yang diberi nama ‘BRILLIANT’ berjaya menjana pendapatan tertinggi dengan memilih pelaburan yang diyakini amat penting serta memberi pulangan yang tinggi untuk setiap pelaburan.

 “Kesepakatan dan kerjasama antara ahli kumpulan yang berani mengambil risiko untuk melabur, pemahaman dan pengetahuan serta tumpuan dalam kelas juga penting dalam membuat sesuatu keputusan pelaburan.

“Disebabkan kumpulan kami terdiri daripada pelajar-pelajar tahun akhir, jadi perancangan kumpulan kami selepas ini ialah mencari peluang pekerjaan yang sesuai serta cuba menceburkan diri dalam bidang pelaburan dan kewangan,” katanya.

 

Kumpulan BRILLIANT yang dianggotai pelajar- pelajar Bacelor Perakaunan, Edzuan Manan,  Ezzatul Fadhilah Rozali, Khadijah Habir, Izzah Zailan,  Ezzati Mat Isa, Leni Marlinah, Mastura Mashor, dan seorang pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Nur Aqilah Shawarudin masing-masing turut menerima RM100.

 

Pada program itu turut diadakan sesi dialog yang dikendalikan moderator Zaim Mohzani bersama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz membincangkan mengenai belia masa kini perlu bijak mengendalikan perbelanjaan kewangan.

Tengku Amir Shah bertitah, memiliki strategi kewangan yang cekap penting terutama bagi mengelak masalah bankrap. 

“Pembangunan belia adalah satu hal yang amat dititik beratkan dan ia meliputi aspek pembentukan pemahaman yang baik untuk mencapai tahap kewangan sihat,” titahnya.

Be$MART anjuran Yayasan CIMB bertujuan mendorong golongan belia mengendalikan wang secara berhemah bagi mengelakkan masalah bankrap.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.- UPM

WXDdMAf~