| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM hasilkan produk jus tembikai susu soya guna teknologi ‘High Pressure Processing’

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Sabri Omar 

SERDANG, 4 Julai - Sekumpulan pelajar Bachelor Sains dan Teknologi Makanan (BSTM), Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan produk makanan yang berinovasi berasaskan buah tembikai yang diproses menjadi jus tembikai susu soya yang diberi nama ‘PinkJoys’.

Minum jus tembikai susu soya ini memfokuskan kepada ciri tanaman 100 peratus, pertama kali diperkenalkan di pasaran dengan menggunakan buah tembikai yang rosak dan kulit putih dalamnya  yang dijadikan jelly tanpa bahan pengawet, perisa tambahan, dan pewarna.

Menurut pelajar Tahun Ketiga, BSTM, Jahnavi Ganesamurthy berkata, ahli kumpulan mereka telah memilih untuk menghasilkan jus yang berasaskan tembikai dan susu soya bagi memfokuskan kepada golongan yang mengalami intoleransi laktosa iaitu ketidakupayaan untuk menghadamkan gula susu atau laktosa.

“Isi kandungan jus tembikai susu soya ini bebas lemak dengan hanya mengandungi 56 kalori dalam setiap hidangan. Dengan menggabungkan susu berasaskan tumbuhan, produk yang dihasilkan sangat memenuhi keperluan semua yang tidak minum susu segar.

“Kami menggunakan tembikai yang sangat masak dan bakal dibuang untuk dijadikan sebagai jus bagi mengelakkan pembaziran sampah dan produk yang dihasilkan adalah produk label bersih tanpa perisa tiruan tambahan.

“Salah satu proses yang diaplikasikan adalah HPP (High Pressure Processing) yang dapat mengawetkan produk makanan tanpa panas atau menggunakan pengawet kimia serta kemampuannya untuk memastikan keselamatan dan memanjangkan jangka hayat untuk disimpan di dalam peti ais,” katanya.

Seramai 63 pelajar tahun tiga BSTM, FSTM, UPM berjaya menghasilkan lapan produk makanan pada Hari Pengenalan Produk Baharu 2022 dengan tema “Innovative Solutions to Reduce Food Loss”.

Prototaip-prototaip makanan yang dipersembahkan adalah berasaskan tembikai, tembikai susu, cili dan jagung.

Sementara itu, industri minuman banyak menggunakan teknologi HPP bagi memberikan bahan yang digunakan pada produk jus tembikai susu soya ini bersih, rasa yang lebih segar, dan nutrisi yang lebih baik, kata Jahnavi.

“Pemprosesan tekanan tinggi ialah teknologi peralihan paradigma industri makanan yang menjadi trend dengan minat pengguna. HPP juga digunakan secara komersial untuk pemprosesan jus buah agar ianya tidak mengalami perubahan yang ketara,” katanya. - UPM

SXDdFAj~