| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM gembira terpilih ke peringkat akhir pertandingan anjuran Airbus

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Hasrul Hamdan


SERDANG, 10 Julai (UPM) – Empat pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) begitu gembira dan teruja apabila terpilih di kalangan lima pasukan terbaik untuk mempersembahkan idea mereka mengenai bidang penerbangan hijau dalam satu pertandingan di Perancis.      

Pertandingan itu yang diadakan di pusat Airbus Industries di Toulouse, Perancis, bertajuk/bertemakan “Fly Your Idea 2013” dengan disertai lebih 600 pasukan yang terdiri daripada 6,000 pelajar dari 82 negara.

Bagi kesemua pelajar tahun tiga kejuruteraan aeroangkasa Fakulti Kejuruteraan UPM, Tan Kai Jun, 23, Ong Thiam Chun, 23, Koo Teck Hock, 23 dan Teong Chee Khoon, 22, pengalaman dan penginapan di ibu pejabat Airbus di Toulouse untuk persembahan terakhir di hadapan “orang paling penting dan berpengaruh” industri penerbangan dari 9 hingga 19 Jun itu, begitu “berharga sekali”.       

“Tidak semua orang yang berpeluang untuk berkunjung ke kilang Airbus di mana kami dibawa melawat sambil belajar dan dilayan sama seperti kakitangan syarikat,” kata Ong dan Koo.

“Jika dibandingkan dengan dua hadiah pertama, pengalaman kami amat berharga sekali,” kata Tan, ketua pasukan kumpulan yang menggelar diri mereka “Team Embarker” untuk pertandingan yang menemukan mereka dengan pasukan mewakili universiti terkemuka dunia.

Kumpulan lain di peringkat akhir adalah dari Universiti Sao Paulo (Brazil), Royal Melbourne Institute of Technology (Australia), Technical University of Milan (Itali) dan sebuah universiti dari India.

Pasukan dari Brazil yang merekabentuk satu sistem kusyen-udara untuk memunggah kargo merangkul hadiah utama 30,000 Euros (lebih RM120,000), manakala pasukan dari Australia yang merangka satu sistem mencampurkan minyak jet dengan methane (dihasilkan daripada najis lembu) memenangi hadiah kedua 15,000 Euros.

Pelajar-pelajar UPM itu merangka satu sistem meresapi bahang badan penumpang dalam sesebuah pesawat menggunakan fabrik polimer khas nano untuk menyalurkan kuasa bagi lampu membaca dan lampu lain di dalam kabin pesawat.



Tan, rakan Ong sejak kecil yang sama-sama bersekolah di SMJK Kwang Hua sebelum menyambung pelajaran ke tingkatan enam Sekolah Tinggi Klang, berkata beliau mendapat ilham bagi sistem itu secara kebetulan.

Pada September lalu ketika mereka sedang duduk berbincang mencari ilham bagi pertandingan itu, Koo mengadu punggungnya “panas” kerana duduk terlalu lama.   
 



“Ketika itulah kami mula berbincang mengenai bagaimana meresapi  bahang pada badan. Mujur pensyarah dan mentor kami banyak membantu dalam menyiapkan projek itu,” kata Tan. Dr Fairuz Izzudin Romli, yang menjadi penyelia pasukan itu dengan dibantu oleh pensyarah Dr Norkhairunnisa Mazlan dan Dr Yazdi Harmin.

Pertandingan dua tahun sekali edisi ketiga anjuran Airbus Industries itu mencabar pelajar mengemukakan ilham untuk mewujudkan industri penerbangan hijau atau mapan bagi masa depan.

Tan berkata proposal mereka adalah untuk mendapatkan tenaga mapan yang bersih tanpa kesan sampingan.

“Sudah tentu ia amat menguntungkan apabila kita cuba meresap bahang daripada 500 penumpang yang duduk dalam sesebuah pesawat selama 10 jam” kata beliau sambil menolak hujah bahawa bahang daripada badan seseorang terlalu kecil.



“Mungkin pada hari ini mereka tidak nampak betapa pentingnya ia tetapi pada masa depan apabila kos minyak pesawat melambung, system yang kami sarankan amat menguntungkan,” tambah beliau.



Ong, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam, sama seperti Tan, berkata idea mereka amat mudah dan boleh dilaksanakan dan mungkin terbukti menguntungkan industri berkenaan di masa depan.

Teong, bekas pelajar SMJK Chung Ling di Butterworth sebelum ke Kolej Matrikulasi di Pahang, berkata walaupun beliau agak kecewa tidak memenangi dua hadiah utama, namun dia sedar ia bukanlah matlamat penting pertandingan itu.

Teong kini menjalani latihan di kilang pembuatan Singapore Aerospace di Bukit Minyak, Pulau Pinang.

Tan dan Ong kini menjalani latihan dengan syarikat Airod, manakala Koo, bekas pelajar SMK Rantau dan SMK King George Seremban, kini berkhidmat dengan Unit Udara Polis.

Dr Fairuz yang menyelia dan menemani pelajar-pelajar itu ke Toulouse, berkata mereka tentunya gembira dengan perhatian yang diberikan kepada projek mereka.

Seorang graduan kejuruteraan aeroangkasa dari UPM, Dr Fairuz mendapat PhD dalam bidang itu dari School of Industrial Systems Engineering of the Georgia Institute of Technology di Atlanta, Amerika Syarikat di mana beliau juga lulus dua ijazah sarjana sains, satu dalam statistik dan satu lagi kejuruteraan aeroangkasa. – UPM

- kgo/agn/kam


WXDcXAe~