| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM cipta aplikasi ‘Salam Halal KL’ kesan ketulenan restoran halal


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG –
Pelajar Institut Penyelidikan Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Syukri Metussin berjaya mencipta aplikasi telefon pintar ‘Salam Halal KL’ menggunakan ‘Live AR View’ iaitu teknologi Augmented Reality (AR) GPS menggunakan kamera peranti untuk melihat restoran halal sekitar kawasan pengguna.

Beliau berkata, ‘Salam Halal KL’ mempunyai ciri inovatif membolehkan pengguna mencari restoran terdekat yang disahkan halal oleh JAKIM secara live melalui skrin telefon pintar pengguna.

“Penggunaan teknologi AR adalah yang pertama di dunia serta mempunyai ciri-ciri rangkaian sosial sendiri yang membolehkan pengguna untuk berkongsi gambar hidangan makanan mereka daripada restoran berkenaan,” katanya.

Muhammad Syukri, pelajar Master Sains di IPPH UPM dibantu oleh Ketua Laboratori Polisi dan Pengurusan Halal,  IPPH, Prof. Madya Dr.Nurdeng Deuraseh dan Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM, Prof. Madya Dr. Rodziah Atan.



Katanya, aplikasi ini turut memberi jaminan premis makanan adalah halal yang diperakui oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Walaupun pihak JAKIM mewajibkan premis makanan untuk memaparkan sijil halal, tetapi masih terdapat peniaga yang memalsukan sijil halal. Dengan adanya aplikasi ini memudahkan pengguna beragama Islam untuk berhati-hati dalam pemilihan premis makanan,” katanya.

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Playstore. Pada masa ini aplikasi ini hanya terhad di kawasan Kuala Lumpur dan perancangan sedang dilakukan untuk diperluaskan di pasaran global. - UPM


WXDdXA~